MIC Kaji Kaedah Bantu Penduduk PPR Yang Tak Mampu Bayar sewa

Diterbitkan: Sabtu, 8 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: MIC kini mengkaji kaedah bagi membantu penduduk projek perumahan rakyat (PPR) yang tidak mampu membayar sewa bulanan mereka, kata Naib Presiden parti itu Datuk M. Saravanan.

Beliau berkata semasa tinggal di kawasan setinggan, penduduk yang kebanyakannya berpendapatan di bawah RM1,000 tidak perlu khuatir tentang sewa, namun selepas berpindah ke PPR, mereka terpaksa memikirkan perkara itu serta bil utiliti lain.

"MIC sedang melihat cara bagi membantu penduduk terbabit mengatasi masalah pembayaran sewa," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat tawaran untuk menyewa PPR kepada 15 keluarga di ibu pejabat MIC di sini pada Sabtu.

Saravanan, yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, berkata sesetengah penerima memohon PPR selama 20 tahun dan mereka dipilih berdasarkan kesegeraan kes masing-masing.

"Sekarang mereka perlu membalas surat itu dan mengambil kunci di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dalam tempoh 14 hari. Mereka juga perlu membuat pembayaran pertama sebanyak RM390 dan sewa bulanan ialah RM124," katanya.

Seorang penerima, Karpagaam Subramaniam, 45, berkata beliau gembira kerana selepas 20 tahun menunggu, mereka sekeluarga akan tinggal di sebuah rumah yang elok serta dalam kemampuannya.

Seorang pemandu teksi Mahendran Muthaloo, 43, gembira dipilih sebagai penerima kerana kini beliau mampu menyediakan rumah yang selesa untuk keluarganya.

"Saya akan berpindah masuk bersama dua anak berusia 6 dan 8 tahun. Ibu saya yang berusia 80 tahun juga tinggal bersama kami.

"Saya bersyukur kerana ada juga pihak yang akhirnya sudi menghulurkan bantuan kepada bapa tunggal seperti saya," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan