Insiden Wanita Warga Asing Dikurung: Hubungan Malaysia, Negara Luar Tidak Terjejas

Diterbitkan: Sabtu, 8 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata hubungan Malaysia dengan negara luar tidak terjejas berikutan insiden 105 wanita warga asing diselamatkan selepas dikurung syarikat agensi pembantu rumah, Sabtu lepas.

Beliau berkata negara terbabit sudah dimaklumkan kejadian itu didalangi satu kumpulan, dan siasatan sedang dijalankan.

"Siasatan akan tamat tidak lama lagi, dan kita harap Kementerian Dalam Negeri dan polis akan mengenakan tindakan tegas kepada kumpulan itu," katanya.

kepada pemberita selepas melancarkan buku 'Ops Jelas' anjuran Pemuda MIC di sini pada Sabtu.

Jabatan Imigresen Selangor cawangan Pelabuhan Klang menyelamatkan wanita warga asing itu, yang dikurung di premis empat tingkat sebuah syarikat agensi pembantu rumah di Bandar Baharu Klang.

Mereka terdiri daripada 95 warga Indonesia, enam Filipina dan empat Kemboja.

Mengulas lanjut, Subramaniam berkata insiden menyelamat itu memberi gambaran kepada negara luar bahawa Malaysia memiliki sistem perlindungan yang ketat untuk pekerja asing.

"Kita juga mempunyai sistem perundangan yang tegas kepada mana-mana individu bersalah di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007," katanya.

Mengulas 'Ops Jelas', beliau berkata buku itu mengandungi maklumat lengkap berhubung program transformasi kerajaan Barisan Nasional untuk masyarakat India.

Katanya, buku dalam bahasa Melayu dan Tamil itu akan diedar sendiri oleh Pemuda MIC bagi memberi penjelasan secara bersemuka, sekaligus dapat menangkis fitnah politik pembangkang.

Dalam pada itu, menjelang Perhimpunan Agung MIC esok, Subramaniam yang juga Timbalan Presiden MIC berkata ia akan lebih tertumpu kepada usaha pengukuhan jentera parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Tumpuan dari segi isu pendidikan dan peluang pendidikan untuk masyarakat India akan turut ditekankan," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan