Tidak Guna Logo Halal Jakim: Syarikat Suplemen Kesihatan Akan Didakwa

Diterbitkan: Khamis, 6 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang dalam proses mengambil tindakan mahkamah ke atas syarikat suplemen kesihatan yang gagal mempamer dan menggunakan logo halal yang diiktiraf oleh jabatan itu atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) pada produk keluarannya.

Jurucakap Hab Halal Jakim, Mohd Khalid Atan berkata setakat ini hanya sebuah syarikat yang terlibat dan pihaknya sedang menyediakan dokumen untuk membawa kes tersebut ke mahkamah.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama syarikat tersebut kerana ia merupakan maklumat sulit.

"Sejak dilancarkan pada 4 Oktober lalu, Skim Malaysian Standards (MS) 2424:2012 Farmaseutikal Halal terdapat dua syarikat yang telah memohon untuk mendapatkan logo halal daripada Jakim," katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mStar Online, Khamis.

Ditanya bentuk tindakan yang boleh diambil bagi syarikat yang ingkar, Khalid berkata mereka boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta atau dipenjara 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

"Perkara ini terkandung di bawah Akta Perihal Dagangan 2011. Kita mahu lebih banyak syarikat suplemen kesihatan segera mohon untuk logo halal daripada Jakim atau JAIN.

"Tindakan tegas dan serbuan akan dijalankan dari semasa ke semasa," katanya.

Pada Rabu, Ketua Penolong Pengarah Jakim (Hal Ehwal Islam) Nor Hanim Abdul Hanim berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas dengan menguatkuasakan undang-undang logo halal ke atas suplemen kesihatan.

Beliau dipetik sebagai berkata menegaskan penguatkuasaan secara tegas akan dijalankan untuk memastikan semua produk yang mengaku bahan yang terkandung di dalam label mereka halal mempamerkan logo halal yang disahkan oleh Jakim bukan pihak lain.

Sejak 1 Januari lalu, hanya Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri sahaja agensi penguatkuasaan yang dibenarkan mengeluarkan sijil dan logo halal di Malaysia.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan