Peranan MTDC Sebagai Pemangkin Perniagaan Teknologi Diiktiraf

Diterbitkan: Khamis, 6 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kejayaan peranan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) kini sudah boleh diiktiraf berikutan banyak syarikat Malaysia berasaskan teknologi, mula dikenali di luar negara.

Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Pelbagai Hala) Kementerian Luar, Datuk Selwyn Das berkata MTDC telah mengorak langkah ke peringkat antarabangsa seperti Mesir, Sri Lanka, Indonesia dan Amerika Syarikat yang telah mula membuka pintu menerima teknologi dari Malaysia.

"Malaysia mempunyai polisi untuk menarik tenaga kerja berpengetahuan tinggi dan infrastruktur serta insentif yang bersesuaian untuk membina perniagaan yang berasaskan teknologi," katanya ketika berucap di persidangan Teknologi MTDC dengan tajuk 'Kepentingan Teknologi dan Inovasi Terhadap Daya Saing Malaysia' di sini, Khamis.

Persidangan selama dua hari bermula hari ini itu, menghimpunkan seramai 100 usahawan tempatan bagi membincangkan perkembangan perniagaan teknologi yang mesra alam.

Katanya, melalui Pelan Transformasi Ekonomi (ETP), Malaysia sudah memiliki polisi yang diperlukan untuk meletakkan negara pada asas yang betul dalam ekonomi baru.

Jelas beliau teknologi sebenarnya memainkan peranan yang penting dalam dunia perniagaan hari ini untuk mempercepatkan perkembangan ekonomi, sambil menambah kejayaan Malaysia dalam mengekalkan persaingannya dalam ekonomi berasaskan teknologi hanya boleh berlaku, jika ada kemahuan yang tinggi. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan