Jaga Nama Baik Dan Imej Malaysia Di Indonesia, Titah Agong

Diterbitkan: Khamis, 6 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Rakyat Malaysia yang tinggal di Indonesia dinasihatkan supaya sentiasa menjaga nama baik dan imej negara dengan mengamalkan etika kerja yang mulia serta menghormati undang-undang dan budaya tempatan.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ketika memberi nasihat itu bertitah peranan itu perlu dimainkan kerana mereka adalah 'Duta Kecil' Malaysia di negara asing.

"Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk terus menjalin hubungan yang ramah, mesra dan erat dengan masyarakat tempatan, di sebalik cabaran dan kerengsaan hubungan dua hala yang wujud antara kedua-dua negara dari semasa ke semasa," titah baginda pada majlis santapan malam bersama rakyat Malaysia di Hotel Shangri-La, Jakarta.

Tuanku Abdul Halim bertitah hubungan Malaysia dengan Indonesia adalah sangat akrab dan sangat istimewa kerana ia diikat kuat oleh pelbagai aspek seperti sejarah, agama, budaya, bangsa dan bahasa.

"Beta amat berbangga kerana persahabatan antara kedua-dua buah negara ini berada pada tahap yang sangat baik dengan kerjasama rapat dalam pelbagai bidang di pelbagai peringkat, baik di peringkat pemimpin negara dan ahli Parlimen, mahupun di peringkat badan bukan kerajaan dan di peringkat pelbagai lapisan masyarakat," titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah sedang dalam rangka lawatan negara selama empat hari ke Indonesia sejak Isnin, bagi mempertingkatkan lagi hubungan yang sedia terjalin erat antara Malaysia dan Indonesia.

Dalam pesanannya kepada rakyat Malaysia di Indonesia malam ini, Seri Paduka turut memperjelaskan bahawa lawatan itu juga bertujuan menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Indonesia kerana memberi peluang kepada rakyat dan syarikat Malaysia untuk melabur serta menyumbang kepada kemajuan ekonomi di republik itu.

Seri Paduka memberi contoh syarikat-syarikat pelaburan Malaysia di Indonesia seperti Maybank, CIMB, Petronas, Tabung Haji dan Sime Darby.

"Beta percaya bahawa pelaburan syarikat-syarikat ini di Indonesia akan memakmur dan memberikan keuntungan kepada kedua-dua belah pihak.

"Demikian jua, Beta berasa amat bangga dengan kebolehan tuan-tuan dan puan-puan yang terdiri daripada kalangan tenaga profesional, pengusaha syarikat dan sektor swasta serta kira-kira 5,000 pelajar dalam membantu menaikkan imej Malaysia, bukan sahaja di Indonesia, malah di mata dunia," titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong juga meminta rakyat Malaysia di Indonesia sentiasa mempamerkan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada negara dan tidak memandang remeh dengan nikmat keamanan yang dimiliki oleh Malaysia sekarang.

"Keamanan adalah nikmat terbesar yang harus disyukuri oleh segenap lapisan rakyat walau di mana juapun tuan-tuan dan puan-puan berada.

"Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan tanah airnya, sebarang usaha ke arah mengganggu-gugat keamanan negara hendaklah dihindari dan dijauhi sama sekali," titah baginda.

Seri Paduka juga berharap kerjasama dan hubungan erat seperti yang dicontohkan oleh sebuah persatuan rakyat Malaysia di Indonesia iaitu 'Malaysia Club Jakarta' (MCJ) dengan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia dalam melaksanakan aspirasi negara selaras dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dapat diperkukukan lagi demi kemakmuran bersama. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan