Malaysia Gesa Anggota PBB Sokong UNRWA

Diterbitkan: Rabu, 5 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa semua negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya menyokong tugas Agensi Bantuan dan Pekerjaan PBB (UNRWA).

Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datuk Hussein Haniff berkata Malaysia dan rakyatnya sentiasa sedar tentang keadaan dan nasib penduduk Palestin.

Ketika berucap pada Jawatankuasa Ad Hoc Perhimpunan Agung untuk Pengumuman Sumbangan Sukarela kepada UNRWA bagi Pelarian Palestin di New York semalam, beliau berkata Malaysia juga sentiasa sedar tentang keperluan kewangan yang dihadapi UNRWA dan Pendaftar Kerosakan PBB Akibat Pembinaan Tembok di Wilayah Palestin yang Diduduki (UNROD).

"Minggu lepas, Malaysia memberi sumbangan US$200,000 kepada UNRWA dan US$80,000 kepada UNROD dan baru-baru ini kerajaan Malaysia membuat keputusan untuk menambah lagi sumbangan berjumlah US$1 juta kepda UNRWA," katanya dalam ucapan itu, yang teksnya diperoleh Bernama di sini, pada Rabu.

Beliau berkata masyarakat sivil dan sukarelawan Malaysia turut bergerak aktif dalam memberi sumbangan kewangan kepada rakyat Palestin.

"Ini termasuk sumbangan terbaru US$320,000 oleh Yayasan Keamanan Global Perdana untuk menyokong tugas bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin dan kami percaya masyarakat sivil mempunyai peranan yang sama penting untuk memikul tanggungjawab membantu pelarian Palestin," katanya.

Beliau berkata Malaysia merupakan penyokong kuat selain menjadi penyumbang yang konsisten dalam membiayai keperluan UNRWA sejak 1978, dan bagi tempoh 2000 hingga 2011, sumbangan tunai Malaysia kepada UNRWA dan Agensi Palestin mencecah US$575,000.

Sehingga kini, kerajaan Malaysia telahpun menyalurkan sumbangan lebih US$32.2 juta kepada perjuangan rakyat Palestin.

Tambahan pula, katanya penyelesaian kepada masalah pelarian Palestin, hanya boleh ditemui apabila Negara Palestin ditubuhkan berdasarkan penyelesaian dua negara dengan Negara Palestin dan Israel saling hidup secara aman dan selamat dengan Baitul Maqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.

Beliau berkata Israel perlu mematuhi sepenuhnya semua undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang kemanusian dan hak asasi manusia. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan