Cadang Kaji Semula Undang-Undang Muflis Tepat Pada Masanya - Maicci

Diterbitkan: Rabu, 5 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Cadangan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya undang-undang muflis dikaji semula, tepat pada masanya, kata Dewan Perniagaan dan Industri India Malaysia (MAICCI).

Presidennya Datuk K.K Eswaran berkata MAICCI mendapati majoriti mereka yang menghadapi kesukaran akibat muflis kebiasaannya membabitkan penjamin dan bukan mereka yang berhutang.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata mereka, terutama usahawan, sewajarnya diberikan peluang yang adil bagi membersihkan nama berbanding dianggap sebagai bertanggungjawab akibat kegagalan peminjam utama menyelesaikan pinjaman masing-masing.

"Antara cadangan perubahan, termasuk dilepaskan daripada muflis oleh Ketua Pengarah Insolvensi selepas dua tahun, bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan kecil atau mendapat pekerjaan bagi menyegerakan proses pelepasan dan menaikkan had minimum semasa daripada muflis daripada RM30,000 kepada RM50,000.

"Di kebanyakan negara maju, muflis dilepaskan selepas mereka melalui proses kecairan aset dalam tempoh masa paling cepat.

"Apabila pihak berkuasa berpuas hari bahawa mereka yang muflis menjalani khidmat kaunseling yang bersesuaian dan melakukan tugas pemulihan yang dicadangkan, mereka dilepaskan daripada liabiliti selanjutnya," katanya.

Eswaran berkata tindakan itu perlu disokong sepenuhnya oleh institusi kewangan bagi mencapai objektif yang dihasratkan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan