Kongres K'saan DAP 15/16 Dis' Saksi Persaingan Sengit Untuk 20 Kerusi Pusat

Diterbitkan: Selasa, 4 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kongres Kebangsaan DAP yang ke-16 akan berlangsung pada 15 dan 16 Disember ini di George Town Pulau Pinang.

DAP mempunyai sistem pemilihan pimpinan pusat yang agak berlainan.

Para perwakilan ke kongres kebangsaan akan memilih 20 anggota jawatankuasa eksekutif pusat.

Dan 20 anggota jawatankuasa ini kemudian akan bertemu dan dalam mesyuarat pertama mereka akan mengundi untuk memilih pengerusi parti, timbalan pengerusi parti, naib-naib pengerusi, setiausaha agung, timbalan setiausaha agung, bendahari pusat dan lain-lain jawatan utama dalam parti.

Mereka juga akan bertanggungjawab melantik 10 orang anggota tambahan kemudian.

Juga tidak sepertimana lain-lain parti, orang yang paling berkuasa di dalam DAP bukanlah pengerusi tetapi setiausaha agung.

DAP tidak memiliki jawatan presiden atau timbalan presiden.

Pada asalnya seramai 103 nama telah dicalonkan tetapi sehingga Isnin, 3 Disember, seramai 68 orang sahaja yang telah mengesahkan pencalonan mereka untuk bertanding merebut 20 jawatan dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat itu.

Yang paling menarik, di kalangan mereka itu terdapat bapa dan anak serta sepupu sepapat yang akan turut serta bertanding.

Ini termasuklah Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng, Karpal Singh dan dua anak lelakinya, Gobind dan Jagdeep serta sepupu, Nga Kor Ming dan Ngeh Koo Ham.

Sebahagian besar daripada calon-calon ini adalah wakil rakyat - iaitu sama ada ahli parlimen mahupun dewan undangan negeri.

Antara nama-nama yang popular ialah ahli parlimen Batu Kawan yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy; ahli parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng; ahli parlimen Tanjung, Chow Kon Yeow, ahli parlimen PJ Utara, Tony Pua, ahli parlimen Cheras, Tan Kok Wai, ahli parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw, ahli parlimen Rasah, Anthony Loke dan ahli parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran.

Juga tersenarai dalam senarai calon ialah ahli parlimen Jelutong, Jeff Ooi; ahli dewan undangan negeri Kota Alam Shah, M. Manoharan; ahli parlimen Kuching, Chong Chieng Jen, ahli parlimen Segambut, Lim Li Eng, ahli dewan undangan negeri Pandamaran yang juga exco kerajaan negeri Selangor, Ronnie Liu; Speker Selangor, Teng Chang Khim dan ahli dewan undangan negeri Bagan Dalam, Pulau Pinang, A. Tanasekharan.

Adalah difahamkan terdapat dua orang calon popular dari kalangan anggota Melayu yang akan bertanding iaitu Senator Ariffin Omar dan wakil dari Negeri Sembilan, seorang bekas pegawai tinggi tentera, Lt Kol (B) Roseli Abdul Ghani.

Sehingga kini, boleh dikatakan kesemua penyandang jawatan akan bertanding mempertahankan kedudukan mereka dalam jawatankuasa berkenaan melainkan ahli Dewan Undangan Negeri Senawang, P. Gunasekaren yang enggan bertanding semula.

Kongres yang ke-16 kali ini akan dipengerusikan oleh ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok. Kongres yang terakhir berlangsung pada Ogos 2008.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan