Data Yang Dikumpul Perlu Betul, Terkini - Kamaruddin

Diterbitkan: Selasa, 4 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Semua agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan digesa memastikan data yang dibekalkan kepada organisasi antarabangsa adalah betul dan terkini yang akan mencerminkan tadbir urus yang baik dan akauntabiliti negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata, pengumpulan data yang betul dan terkini adalah penting kerana data yang dibekalkan nanti akan memberi kesan kepada kedudukan negara di peringkat antarabangsa.

"Pengumpulan data yang tidak betul menyebabkan rating (persaingan) kita akan menurun di peringkat antarabangsa. Di samping itu juga, kita akan menghadapi masalah persepsi rakyat mengenai nilai-nilai integriti dan tadbir urus yag baik di Malaysia," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Forum Tadbir Urus yang Baik dan Akauntabiliti sempena sambutan Hari Pembangunan Maklumat Sedunia di sini Selasa.

Dalam pada itu, Kamaruddin berkata, media dinasihatkan supaya tidak keterlaluan dalam menyerlahkan masalah atau kepincangan yang berlaku hingga mampu menjejaskan kedudukan negara.

"Dalam usaha mendedahkan masalah atau kepincangan, jangan lupa kesetiaan kita kepada negara. Setakat ini, media telah memainkan peranan yang baik dan memuaskan dalam menunjukkan kelemahan yang banyak membantu kita ke arah memperbaiki kelemahan," kata Kamaruddin.

Dalam ucapannya, beliau berkata, tadbir urus yang baik akan mengubah keyakinan terhadap kerajaan dan institusi serta negara.

Beliau berkata, walaupun Malaysia mencapai kemerdekaan 55 tahun lalu, masih terdapat cabaran pembangunan yang perlu ditangani termasuk di bidang pendidikan dan telekomunikasi.

"Saya yakin bahawa walau apapun cabaran atau kekurangan dalam proses membawa pembangunan kepada rakyat, ia boleh diatasi secara lebih baik apabila kita mengukuh tadbir urus yang baik dan berakauntabiliti dalam sistem kita," tambahnya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan