Agong Harap Malaysia-Indonesia Aktif Jana Banyak Program Kerjasama

Diterbitkan: Selasa, 4 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (dua, kiri) dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah (kanan) berkenan berangkat ke majlis Santapan Malam Negara yang dihoskan oleh Presiden Republik Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono (dua, kanan) dan isteri Ibu Ani Yudhoyono (kiri) di Istana Negara, Jakarta, malam Selasa. Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dalam rangka lawatan negara empat hari ke Indonesia dari 3 Disember hingga 6 Disember. -fotoBERNAMA
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (dua, kiri) dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah (kanan) berkenan berangkat ke majlis Santapan Malam Negara yang dihoskan oleh Presiden Republik Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono (dua, kanan) dan isteri Ibu Ani Yudhoyono (kiri) di Istana Negara, Jakarta, malam Selasa. Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dalam rangka lawatan negara empat hari ke Indonesia dari 3 Disember hingga 6 Disember. -fotoBERNAMA

JAKARTA: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berharap pelbagai pihak di Malaysia dan Indonesia akan melibatkan diri secara lebih aktif dalam menjana program kerjasama bagi memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Seri Paduka bertitah program yang diperluaskan dalam semua bidang kehidupan itu boleh meningkatkan lagi kerjasama antara Malaysia dan Indonesia untuk faedah dan kepentingan bersama.

"Adalah menjadi hasrat Beta untuk melihat adanya lebih banyak keterlibatan yang aktif dan produktif dijanakan di semua peringkat dan dalam semua lapangan yang boleh meningkatkan kerjasama dan kesalinghubungan antara kedua-dua negara walau apa jua rintangan yang mendatang.

"Dalam hal ini, Beta yakin Rundingan Tahunan ke-9 antara Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Haji Abdul Razak dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono di Kuala Lumpur pada 18 Disember akan memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara," titah baginda pada Majlis Santapan Malam Negara di Istana Negara, Jakarta Pusat di sini.

Santapan Malam Negara oleh Presiden Yudhoyono dan Ibu Negara Ibu Ani Yudhoyono itu, bagi meraikan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah yang sedang melakukan lawatan negara selama empat hari ke Indonesia mulai Isnin.

Tuanku Abdul Halim bertitah hubungan ekonomi dua hala antara Malaysia dan Indonesia menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan dan baginda berkeyakinan bahawa hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara itu akan meningkat lagi pada tahun-tahun mendatang.

Keyakinan itu disandarkan kepada usaha dan inisiatif berterusan kedua-dua negara dalam menceburi dan menerokai sektor yang bernilai dan berkepentingan bersama, titah Seri Paduka.

"Sebagai penambahbaikan dalam bidang ekonomi, Malaysia telah memperkenalkan pelbagai peluang pelaburan yang berdaya maju dan bernilai tinggi melalui beberapa program termasuk Program Transformasi Ekonomi (ETP).

"Beta mengalu-alukan hasrat Indonesia untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia. Pada masa yang sama Beta turut menggalakkan syarikat-syarikat Malaysia untuk terus bekerjasama dengan Indonesia dalam usaha negara ini untuk mempelbagaikan ekonominya," titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong turut berbangga dengan peranan yang dimainkan oleh Malaysia dan Indonesia dalam menangani isu berpentingan bersama di peringkat serantau dan antarabangsa, khususnya dalam forum seperti Asean, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Seri Paduka berkeyakinan komitmen bersama oleh Malaysia dan Indonesia ini akan dapat diteruskan demi kemakmuran bersama dan kestabilan serantau.

Yang di-Pertuan Agong juga berpuas hati dengan usaha yang dijalankan oleh kerajaan Malaysia dan Indonesia untuk merapatkan dan memperkukuhkan kerjasama politik, ekonomi dan sosio-budaya antara kedua-dua negara dan berharap hubungan dan kerjasama dua hala itu akan terus dapat dilonjakkan ke tahap lebih tinggi.

Tuanku Abdul Halim menyampaikan penghargaan kepada Presiden Yudhoyono dan Kerajaan Indonesia kerana mengundang baginda dan Raja Permaisuri Agong untuk lawatan negara ke Indonesia.

Baginda mendoakan agar Presiden Yudhoyono dan Ibu Ani serta rakyat Indonesia sentiasa mendapat perlindungan Allah dan Indonesia akan terus meraih kejayaan yang cemerlang. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan