Umno Sudah Pulih, Semangat Membara Perwakilan Menyerlah

Diterbitkan: Sabtu, 1 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: 'Gelombang Merah' yang mewarnai Pusat Dagangan Dunia Putra dan kehadiran ramai orang khususnya penyokong parti untuk mengikuti Perhimpunan Agung Umno 2012 menggambarkan parti terbesar negara ini sudah pulih daripada kejutan pilihan raya 2008.

Semangat Umno, parti tonggak Barisan Nasional (BN), menyerlah dalam kalangan 2,759 anggota perwakilan yang kebanyakannya mengenakan pakaian berwarna merah, yang berkobar-kobar mempersiap jentera parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Semangat yang sama ditunjukkan oleh para penyokong parti, yang setia berada di luar Dewan Merdeka, tekun mendengar perbahasan dan memberi semangat padu.

Di awal ucapan dasar Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis, para perwakilan dengan lantang memberitahu umum bahawa Umno telah pulih semangatnya dan hakikat ini diakui banyak pihak.

Tiga kali soalan 'Umno sudah pulih?' yang dilontar Najib menerima jawapan tegas penuh yakin 'sudah!' daripada para perwakilan.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang sebelum ini agak kritikal terhadap Umno, menyifatkan Perhimpunan Umno 2012 sebagai lebih kuat dan bersemangat, tanda semua anggota perwakilan telah siap sedia untuk 'berperang' menghadapi pilihan raya umum.

Membujur lalu melintang patah, untuk mengekalkan kuasa politik Umno dan berjuang habis-habisan mempertahan Putrajaya untuk Barisan Nasional - itulah tekad dan semangat yang akan dibawa pulang anggota perwakilan selepas berkampung tiga hari di PWTC.

Malah ada yang sudah berada di sini selama seminggu kerana menghadiri forum, taklimat dan perhimpunan sayap parti, mencambah fikiran dan merencana strategi untuk diterapkan kepada anggota Umno, yang kini mempunyai 3.2 juta orang.

Para perwakilan menggalas tanggungjawab menterjemah amanat presiden parti yang sarat dengan mesej kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya umum, sekembalinya mereka ke negeri masing-masing.

Ketua Umno Bahagian Batu Datuk Yahaya Mat Ghani@Abbas berkata hakikat bahawa Umno sudah pulih bukan omong kosong pucuk pimpinan tetapi itulah keadaannya yang dirasai anggota parti di peringkat akar umbi.

"Kita (anggota Umno) nak menang. Ini adalah antara hidup dan mati kita, hidup dan mati bangsa kita, hidup dan mati agama kita, negara kita. Kalau kita tak dengar, tak nak ikut arahan, tak nak dengar arahan pucuk pimpinan apa akan jadi pada anak cucu kita akan datang?" tegasnya.

Transformasi politik yang dilakukan Najib dan barisan kepimpinannya diterima baik anggota Umno dan rakan sekutunya dalam BN, malahan rakyat umumnya menerima usaha dan inisiatif yang dilakukan kerajaan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah mengakui pendekatan pucuk pimpinan yang sering turun padang, mendekati dan menyelami denyut nadi segenap lapisan rakyat serta mendengar suara anak muda, berjaya mengembalikan sokongan kepada Umno dan BN.

Namun, beliau mengingatkan Umno jangan mudah alpa, kerana transformasi dalam parti tonggak BN ini perlu terus dilakukan bagi memastikan Umno kekal relevan.

Seperti kata seorang penganalisis politik, Abdul Ghapa Harun, yang juga pensyarah kanan Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia, sebuah kerajaan yang responsif terhadap cabaran baharu dan tuntutan semasa rakyat, dan seterusnya melakukan transformasi, akan mendapat sokongan rakyat.

Presiden Umno sendiri mengingatkan anggota parti bahawa Umno berdepan dengan perubahan radikal demografik yang mengubah cita rasa dan aspirasi rakyat terutama golongan muda, yang lebih bermaklumat serta kritikal.

Keutamaan, selera, sistem nilai dan profil pengundi di Malaysia, kata Najib, menyumbang kepada perubahan landskap politik negara berikutan peningkatan taraf hidup, proses perbandaran, akses kepada pendidikan, kemajuan teknologi maklumat, komunikasi dan pengangkutan yang berlaku di negara ini.

Presiden Kelab Umno Tokyo Ariff Yasir Zulkafli, yang mewakili generasi muda, juga telah bersuara melahirkan harapan supaya Umno kekal memerintah dan terus menjadi tempat mengadu nasib serta wadah memperjuang kepentingan dan hak generasi muda.

Rayuan ikhlas beliau memohon semua anggota Umno melupakan sengketa sesama sendiri, dan kembali kepada perjuangan asal untuk membela nasib orang Melayu, seharusnya membuka mata banyak pihak, bahawa generasi muda sedar dan memahami apa yang berlaku dalam politik Malaysia. BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan