PM Ucap terima Kasih Kepada Bekas PM, 'Wira Tidak Didendang'

Diterbitkan: Sabtu, 1 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sifat rendah diri Datuk Seri Najib Tun Razak terserlah sekali lagi apabila beliau melahirkan penghargaan kepada pejuang-pejuang Umno termasuk 'wira tidak didendang' atas kesetiaan mereka kepada perjuangan parti.

Perdana menteri dan pengerusi Umno itu menyampaikan penghargaan kepada dua bekas perdana menteri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana sokongan berterusan dan bantuan yang dihulur untuk memperkukuhkan parti.

Menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung Umno 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, beliau turut merujuk kepada 'sahabat lama' dikenali sebagai Cikgu Seman Deros sebagai antara individu yang menyentuh hatinya.

"Dia tidak pernah jadi wakil rakyat tetapi Cikgu Seman masih cinta, setia dan komited pada Umno," katanya menceritakan mengenai perwakilan dari Umno Bahagian Jasin, Melaka yang berusia 70 tahun itu.

"Saya juga berasa terharu bila saya turun melawat ruang-ruang di PWTC semasa persidangan, saya diberitahu di depan skrin besar ramai perwakilan wanita yang datang dari jauh, ada dah 'cop' tempat sejak 6.30 pagi lagi, jangan cuba nak kalih (alih) dia dari tempat tu...inilah wira-wira yang tidak didendang," kata Najib.

Rayuan wakil Kelab Umno Luar Negara semasa perbahasan usul ucapan dasar presiden, Ariff Yasir Zulkafli dari Kelab Umno Tokyo, yang berharap Umno terus mara, berkuasa dan memperjuangkan hak orang Melayu, turut memberi kesan kepada Najib.

Merujuk kepada Dr Mahathir, Najib berkata beliau menghargai jasa bekas perdana menteri itu yang tanpa diminta telah berjumpa dengan semua pemimpin Umno di seluruh negara untuk meminta mereka terus menyokong parti.

"Tanpa disuruh Tun (Dr Mahathir) telah berjumpa mereka. Saya tanya kenapa nak jumpa, dia kata hendak beritahu pada anggota Umno pentingnya mereka menyokong parti, bukan sokong individu kerana kalau parti masih berkuasa, perjuangan masih boleh diteruskan.

"Saya juga dapat 'feedback' (maklum balas) dari perjumpaan tertutup yang dibuat. Tun kata walaupun si polan si polan ini saya (Dr Mahathir) tidak suka, tetapi kalau presiden (Najib) parti pilih, saya tetap sokong dia...terima kasih Tun," kata Najib disambut tepukan gemuruh anggota perwakilan.

Perdana menteri berkata beliau juga terhutang budi kepada Abdullah kerana sokongan berterusan dan kesanggupannya melepaskan jawatan perdana menteri dan presiden Umno mengikut tradisi parti dengan cara terbaik dan teratur.

"Masa dia serah jawatan pada saya, dia kata, 'Najib, I want you to do better than what I did' (Najib, saya mahu anda buat lebih baik daripada saya)," katanya.

Najib berkata penghargaan itu diluahkan kerana Umno dan BN akan turun ke gelanggang perang pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi dan jentera yang kuat dan padu perlu untuk memastikan kemenangan terus berpihak kepada parti.

"Saya percaya musuh kita tak berapa kuat, saya yakin orang ramai akan berpihak pada Umno dan BN," katanya penuh semangat.

Najib berkata perhimpunan terakhir sebelum pilihan raya umum itu cukup istimewa kerana Umno dilihat semakin pulih dan sememangnya layak memimpin negara.

Katanya, sokongan masyarakat bukan Melayu juga dilihat semakin baik dan mereka melihat Umno secara lebih positif berbanding sebelum ini.

Sebagai sebuah parti, kata Najib, Umno telah menunjukkan ia mampu memulihkan keadaan parti, merapatkan barisan dan menunjukkan semangat luar biasa untuk memastikan kemenangan pada pilihan raya umum ke-13. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan