Fathul Bari 'Serang' PAS Isu Dakwa Umno Murtad

Diterbitkan: Sabtu, 1 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Fathul Bari. -foto THE STAR
Fathul Bari. -foto THE STAR

KUALA LUMPUR: Suasana hari terakhir Perhimpunan Agung Umno 2012 dilihat panas apabila PAS dibidas kerana mengeluarkan pelbagai dakwaan terhadap Umno termasuk dikatakan sebagai parti murtad.

Malah ketika membahaskan usul agama dan pendidikan, perwakilan Perlis, Fathul Bari Mat Jahaya turut mengingatkan ahli Umno supaya berhati-hati dengan helah pemimpin PAS ketika menjatuhkan sesuatu hukum terhadap Umno.

Menurutnya, pemimpin PAS sering menggunakan taktik ketika bercakap bagi mengaburi mata masyarakat supaya tidak dilihat dengan jelas melabel Umno dengan pelbagai dakwaan.

"Kita kena hati-hati, ini kenyataan yang bijak sebenarnya. Bijak dalam erti kata tidak disebut secara langsung bahawa Umno itu murtad. Ini dipanggil salah satu kaedah dalam bercakap iaitu ilmu kalam atau mantik.

"Ilmu ini ada mukadimah (pembuka) dan natijahnya (kesimpulan)...dua mukadimah dan satu natijah. Contohnya perkara yang memabukkan adalah haram...itu (mukadimah) pertama. (Mukadimah) kedua ialah arak itu memabukkan, maka natijahnya (kesimpulan) arak itu haram," katanya.

Jelas beliau, dalam isu yang membabitkan kenyataan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendakwa Umno murtad, Mursyidul Am PAS itu pada dasarnya tidak menyebut secara langsung mengenainya.

"Mukadimah pertama dikatakan bahawa memperlekehkan Islam adalah murtad. Mukadimah yang kedua ialah dikatakan Umno tolak Islam bererti Umno memperlekehkan Islam...itu sahaja.

"Tapi beliau tak bagi natijah. Tuan-tuan, natijah daripada kenyataan itu jelas iaitu menghukum Umno...iaitu Umno murtad. Ini satu hukuman yang sangat berat kerana menghukum orang lain murtad," katanya.

Terdahulu, Fathul menyiarkan klip video sidang media Nik Abdul Aziz pada muktamar PAS di Kota Baru bulan lalu yang menyebut bahawa orang yang memperlekehkan Islam adalah murtad dan pada masa yang sama turut mendakwa Umno sebagai parti yang memperlekehkan Islam.

Sementara itu Fathul yang juga Pengerusi Sekretariat Ulama Muda Malaysia turut mengingatkan supaya ahli Umno tidak terpengaruh dengan budaya mengkafirkan atau memurtadkan orang lain.

"Ideologi kafir mengkafir tidak akan kita benarkan dalam parti ini. Kita tak redha orang-orang kita buat begitu.

"Cukuplah perpecahan ynag dicetuskan menerusi Amanat Tok Guru dahulu. Saya ingin menyeru jangan ada perkataan kafir mengkafir. Saya seru kita (ahli) Umno jangan keluar perkataan itu," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan