Rakyat Malaysia Mesti Berhati-hati Buat Pilihan

Diterbitkan: Jumaat, 30 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Peringatan Datuk Seri Najib Tun Razak kepada rakyat Malaysia supaya tidak menggantikan kerajaan Barisan Nasional dengan entiti lain yang belum tentu kemampuannya, turut mendorong penduduk sebuah negara jiran menasihatkan rakan-rakan Malaysia mereka supaya berhati-hati dalam menentukan masa depan mereka.

Beberapa profesional ini menggunakan Facebook untuk berkongsi pandangan mereka mengenai perkembangan politik di Malaysia, berdasarkan tindakan pakatan pembangkang yang berusaha menumbangkan kerajaan yang ada pada pilihan raya umum yang dijangka diadakan bila-bila masa.

Pesanan itu berbunyi: "Hati-hati buat pilihan, jangan menyesal dan terasa kesusahannya macam kami sebagai minoriti di sini, nak praktikkan (amalkan) agama sendiri pun banyak batasnya."

Kedua-dua warga negara jiran itu, yang bukan sahaja berpendidikan tinggi di selatan tanah air dan pernah menetap di Australia, benua yang menjadi tumpuan penghijrahan ramai, tidak mahu orang Melayu mengalami nasib yang sama mereka lalui.

Perhimpunan agung tahunan parti, yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13, hari ini memberi tumpuan kepada amanat Najib, yang juga Perdana Menteri, dengan agenda utama perbincangan selama lima hari itu fokus mengenai kesiapsiagaan Umno memimpin BN menghadapi pilihan raya itu.

Ucapan dasar Presiden Umno antara lain menekankan mesej perpaduan dan kesiapsiagaan dalam kalangan 3.2 juta anggota Umno di samping meyakinkan rakyat bahawa Umno dan sekutunya dalam BN adalah pilihan terbaik memacu negara ke arah masa depan yang lebih terjamin dan stabil.

Nasihat dan pengalaman hidup yang dikongsi dua wanita berkenaan seharusnya membuka mata dan fikiran bahawa rakyat Malaysia mesti bijak memilih dalam pilihan raya umum akan datang, untuk menentukan hala tuju negara.

Pilihan berada di tangan rakyat Malaysia sama ada untuk memilih memberi mandat yang baharu dan besar kepada kerajaan sedia ada yang diterajui BN, atau parti lawan yang kemaruk ingin ke Putrajaya.

Kepada kira-kira 13.1 juta pemilih berdaftar yang akan mengundi pada pilihan raya umum yang boleh diadakan dalam tempoh enam bulan ini, mereka mestilah bijak membuat pertimbangan meliputi segala aspek politik, sosial dan ekonomi.

Ketika generasi muda sedang melihat masa depan yang lebih cemerlang, dan generasi lama mendoakan kestabilan dan keamanan yang berterusan, apakah kewajaran untuk menukar kerajaan?

Penganalisis politik, Abdul Ghapa Harun, yang juga pensyarah kanan Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia berkata perkara pokok yang mesti ditimbangkan para pengundi semasa hendak memilih parti mana yang membentuk kerajaan Malaysia adalah apakah bentuk jaminan yang boleh diperoleh rakyat dan negara.

"Apakah parti yang membentuk kerajaan kelak dapat memberi jaminan terutama dari segi kestabilan politik, keamanan dan ketenteraman serta pertumbuhan ekonomi?

"Kestabilan politik negara yang berterusan adalah aset sangat penting kerana tanpa kestabilan, pertumbuhan ekonomi tidak dapat dilakukan untuk menjana kekayaan, ia akan memberi kesan kepada kesejahteraan hidup rakyat," katanya ketika dihubungi Bernama.

Najib dalam ucapan dasarnya bertemakan 'Kepimpinan Transformatif Menuju Wawasan Nasional' antara lain berkata rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang terbaik, dan ini hanya mampu ditawarkan Umno dan BN.

Pilihan raya umum yang akan datang merupakan titik penentu kepada destinasi masa depan Malaysia dan rakyat perlu tahu menilai kelebihan BN berbanding pembangkang, kerana sejak memegang tampuk pemerintahan, BN sentiasa membuat perubahan mengikut peredaran zaman dan keadaan semasa.

Kerajaan BN yang diterajui Umno yang telah merubah ekonomi negara dan taraf hidup rakyat, hanya meminta mandat untuk mereka meneruskan usaha mencapai negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Sukarkah untuk membuat pertimbangan yang waras dan membandingkan rekod pencapaian cemerlang sejak 55 tahun merdeka BN berbanding janji kosong pembangkang yang tidak mungkin tertunai?

Tanggapan bahawa 'jika mahu perubahan, perlu tukar kerajaan' dilihat tidak relevan, kerana asas pertimbangan mestilah menjurus kepada parti mana yang akan mewujudkan keadaan lebih kondusif kepada kesejahteraan hidup, yang semakin mencabar.

Mengenai pendapat yang menyatakan apa salahnya memberi peluang kepada pembangkang untuk menang bagi dinilai kemampuan dan keupayaan mereka mengurus negara dan rakyat, mengapa rakyat Malaysia perlu mengambil risiko ini?

Umum sudah melihat dan rakyat di keempat-empat negeri pakatan pembangkang iaitu Selangor yang dipimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pulau Pinang diterajui DAP, Kedah dan Kelantan yang ditadbir PAS, pastinya sudah dapat menilai bagaimana prestasi kerajaan negeri berkenaan.

Oleh itu, seperti hujah Abdul Ghapa, rakyat seharusnya melihat sama ada sesebuah kerajaan itu dapat memperbaiki kelemahan dan melakukan transformasi ke arah pembaharuan serta perubahan.

"Yang penting adalah sebuah kerajaan yang responsif kepada pelbagai tuntutan baharu dan cabaran semasa, memenuhi keperluan rakyat dan disiplin dalam berorganisasi ketika melaksanakan fungsinya sama ada di peringkat pusat ataupun negeri," katanya.

Maka mengapa perlu menukar kerajaan, jika kerajaan sedia ada telah dan sedang melakukan transformasi seiring dengan tuntutan semasa? BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan