PM Beri Jaminan Kerajaan Prihatin Keselamatan Pelajar Luar Negara - Kelab Umno

Diterbitkan: Jumaat, 30 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kelab Umno Luar Negara pada Jumaat diberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa prihatin terhadap keselamatan pelajar di luar negara, terutama di negara-negara bergolak atau menghadapi bencana alam.

Timbalan Badan Perhubungan Negara Kelab Umno Mesir Habib Bakri Mamat berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan demikian pada pertemuan dengan 64 anggota perwakilan Kelab Umno Luar Negara di luar Perhimpunan Agung Umno 2012 di sini Jumaat.

Najib, katanya, bagaimanapun mengingatkan mereka supaya menyalurkan maklumat dengan segera kepada pihak kedutaan atau Wisma Putra apabila berhadapan dengan perkara yang menggugat keselamatan pelajar.

Beliau berkata Najib turut menegaskan bahawa soal kestabilan politik dan keamanan sesebuah negara amat penting demi kesejahteraan rakyat.

"Apa yang ingin disampaikan presiden Umno ialah rakyat tidak seharusnya berani mengambil risiko untuk mengubah kerajaan sewenang-wenangnya yang akhirnya mencetuskan suasana tidak aman," katanya.

"Pergolakan politik yang berlaku di negara luar seharusnya dijadikan iktibar kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa kita tidak boleh berkompromi dengan perkara-perkara yang boleh memudaratkan negara," kata Habib, pelajar perubatan tahun empat Universiti Mansourah.

Penolong Bendahari Kelab Umno Australia, A Al Haqq Mohammad Mubin yang turut hadir pada pertemuan itu berkata sebagai pelajar di luar negara, mereka sedar bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang aman dan makmur, jauh daripada mala petaka seperti gempa bumi atau musibah besar.

"Bagi kami yang berada di negara luar, Malaysia adalah sebuah negara yang cukup makmur dan tenteram," katanya.

Presiden Kelab Umno Queensland, Australia, Fatin Sajeeda Abdul Shakor mengajak rakyat Malaysia agar jangan sesekali menjadikan pilihan raya umum ke-13 nanti sebagai ujikaji dan memperjudi nasib negara.

"Kita tidak boleh mengambil risiko sebegini sedangkan kita masih ada matlamat yang mahu dicapai iaitu wawasan 2020," katanya.

Presiden Kelab Umno Auckland, New Zealand, Noor Liyana Nouxman pula berkata dalam pertemuan itu perdana menteri turut menegaskan bahawa pelajar Malaysia di luar negara adalah aset kepada negara dalam usaha mencapai Wawasan 2020.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Pengerusi Kelab Umno Luar Negara, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan