Zulfahmi Terima Anugerah 'Satria Terbilang' Pemuda Umno

Diterbitkan: Rabu, 28 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin pada Rabu menerima anugerah 'Kesatria Terbilang' daripada Pergerakan Pemuda Umno.

Pelumba sensasi pasukan AirASia-SIC-Ajo yang baru menaiki podium keduanya pada Grand Prix Valencia di Sepanyol baru-baru ini menerima anugerah berkenaan pada persidangan sayap pergerakan itu.

Menurut pelumba berusai 21 tahun itu, beliau mahu menjadikan anugerah berkenaan sebagai pembakar semangat untuk memenangi lebih banyak podium pada perlumbaan musim depan.

"Saya menaiki dua podium pada musim ini...saya berharap akan mendapat lebih daripada dua pada musim depan," katanya selepas menerima anugerah yang disampaikan, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Muhammad Zulfahmi yang hadir ditemani bapanya Khairuddin Waji, 47, dan ibu Zarinah Parijan, 41, berkata beliau akan berusaha dengan lebih kuat bagi mencapai kejayaan pada tahun hadapan.

"Saya tak sabar untuk terus mengharumkan nama negara," katanya.

Muhammad Zulfahmi sebelum ini turut memenangi anugerah 'Pelumba Kelas Moto3 Paling Meningkat 2012'.

Pemilihan untuk anugerah tersebut dilakukan oleh laman rasmi Kejuaraan MotoGP Dunia, www.motogp.com., menerusi program pemilihan 'After the Flag' setiap tahun.

Pelumba yang berasal dari Kampung Bukit Changgang, Banting, Selangor, menceburi dunia MotoGP sebagai pelumba 'wildcard' dalam acara 125cc pada MotoGP Grand Prix Malaysia pada 2009.

Pada tahun berikutnya, beliau menunjukkan peningkatan mendadak dalam musim pertama kategori 125cc dan dengan sokongan pasukan Ongetta Racing Team, berpangkalan di Itali, beliau menduduki tempat ke-24 keseluruhan.

Pada 2011, beliau memperbaiki kedudukan di tangga ke-18 selepas mengumpul 30 mata.

Pada musim pertama Kejuaraan Dunia Moto3 tahun ini, Muhammad Zulfahmi mencipta sejarah apabila menduduki podium di tempat kedua pada Grand Prix Malaysia bulan lepas.

Pelumba negara itu menamatkan saingan musim ini dengan menduduki tempat kelapan dengan mengumpul 112 mata dalam 16 perlumbaan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan