Puteri Terengganu Yakin Perjuangan Islam Umno Lebih Baik Berbanding PAS

Diterbitkan: Rabu, 28 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Sebahagian anggota Puteri Umno yang hadir mendengar usul yang dibentangkan oleh perwakilan sayap parti itu. Foto AZHAR MAHFOF / THE STAR
Sebahagian anggota Puteri Umno yang hadir mendengar usul yang dibentangkan oleh perwakilan sayap parti itu. Foto AZHAR MAHFOF / THE STAR

KUALA LUMPUR: Sayap paling muda, Pergerakan Puteri Umno percaya Umno adalah sebuah parti yang memperjuangkan Islam jauh lebih baik daripada PAS.

Pengerusi Biro Agama Puteri Umno Terengganu, Laila Mat Daud berkata, perkara itu dapat dilihat dengan jelas dengan pelaksanaan pelbagai program, aktiviti serta pembangunan rohani dan jasmani bagi memantapkan Islam tanpa menindas atau menidakkan hak kaum dan agama lain.

Di Terengganu, katanya kerajaan memperkenalkan program Khatam al-Quran yang mencatatkan peningkatan kanak-kanak tadika khatam al-Quran dari tahun ke tahun.

Malah katanya, penerapan Islam tidak hanya terhenti di peringkat sekolah rendah tetapi juga di peringkat sekolah menengah melalui penubuhan Sekolah Menengah Imtiaz yang menekankan konsep kejayaan dunia dan akhirat.

"Inilah yang kita usahakan bagi memartabatkan Islam. Saya penuh percaya bahawa Umno ialah sebuah parti yang memperjuangkan Islam jauh lebih baik daripada PAS.

"Tidak seperti sebuah parti di luar sana yang hanya pandai berkata-kata melalui mikrofon di sana sini bercakap mengenai Islam tetapi tindakannya tidak langsung mencerminkan Islam yang unggul," katanya ketika membahaskan usul agama, di Perhimpunan Agung Umno 2012 dekat sini, Rabu.

Membahas lanjut isu agama, Laila berkata, pelaksanaan hukum hudud adalah isu yang sering digunakan PAS untuk meraih sokongan rakyat kerana menyedari betapa kuatnya isu hudud dalam pentas politik orang Melayu dan Islam.

Mengambil contoh kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar tentang tiada paksaan dalam beragama yang turut terpakai untuk orang Melayu, beliau turut menyatakan kekecewaan terhadap reaksi pimpinan tertinggi parti pembangkang terhadap isu ini.

"Paling menyedihkan lagi...kenyataan Nurul Izzah ini telah disokong oleh beberapa pemimpin PAS termasuk Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat," katanya.

Ahli Jawatankuasa Puteri Umno Bahagian Marang ini turut membangkitkan isu mendoakan kecelakaan seperti yang dilakukan PAS terhadap Umno baru-baru ini.

"Kita dilarang mendoakan kecelakaan terhadap sesiapa sahaja makhluk Allah. Jika kita dizalimi maka serahkan urusan ini kepada Allah.

"Ni nok royak we nih...ada puak-puak ni yang ngaku Islam...nok tuboh plok negara Islam...duk doa ke puak-puak kita ni supaya mapuh...BN KO, KO BN, BN KO bukan OK...," katanya dalam loghat Terengganu.

Justeru, beliau yang mewakili Puteri Terengganu menyarankan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang memperlekehkan agama dan mencemarkan kesucian Islam.

"Puteri Umno Terenganu mencadangkan supaya tindakan tegas perlu diambil kepada mereka-mereka yang memperlekehkan agama dan mencemarkan kesucian Islam yang mana ia akan menghancurkan kedaulatan negara, mengganggu gugat kestabilan politik serta boleh mengancam keselamatan negara dan tidak mustahil boleh menghuru-harakan negara kita Malaysia.

Saranan Laila dilihat menjurus kepada pembangkang yang didakwa sering mempolitikkan isu agama sehingga ada parti yang menggunakan isu agama untuk meraih sokongan rakyat.

Sebagai menyokong hujah, Laila turut memasukkan keratan hadis sebagai sokongan.

Ini katanya berbeza dengan Umno yang melaksanakan pelbagai program, aktiviti serta pembangunan rohani dan jasmani bagi memantapkan Islam tanpa menindas atau menidakkan hak kaum dan agama lain.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan