PM Mahu Anggota Umno Siapsiaga Hadapi PRU-13

Diterbitkan: Rabu, 28 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa memberi taklimat kepada para perwakilan pada majlis Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, Selasa. Foto BERNAMA.
Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa memberi taklimat kepada para perwakilan pada majlis Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, Selasa. Foto BERNAMA.

KUALA LUMPUR: Kesiapsiagaan parti dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang merupakan amanat utama Datuk Seri Najib Tun Razak kepada semua perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung Umnno 2012.

Dalam Taklimat Presiden sempena perhimpunan agung ke-66 itu, Najib mengingatkan perwakilan supaya bekerja keras dan lebih agresif dalam memenangi sokongan rakyat.

Aspek kesatuan turut diberi penekanan untuk memastikan parti terus mantap dan berjaya pada pilihan raya umum nanti.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, Perdana Menteri menekankan supaya kesiapsiagaan parti terus kekal dan mantap dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, Najib menasihati semua yang hadir supaya bersatu dan tampil sebagai satu pasukan yang sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan demi keutuhan parti.

"Semua anggota serta perwakilan perlu faham dan sedar peranan masing-masing dan tidak terhenti di situ sahaja. Perlu ada kesinambungan dalam perjuangan demi mengangkat martabat bangsa dan negara kerana menang atau kalah parti bergantung kepada semangat satu padu semua kaum dalam parti," katanya.

Seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Presiden Umno dalam amanatnya mengingatkan perwakilan bahawa perhimpunan Umno pada kali ini bukan satu perhimpunan biasa.

"Ia akan menentukan masa depan bukan sahaja ahli di dalam dewan (Dewan Rakyat) tetapi bangsa, rakyat Malaysia sendiri dan agama kita yang merupakan tunjang dan asas kepada perjuangan parti kita," katanya.

Beliau berkata, Presiden turut mengingatkan perwakilan untuk berhimpun dengan niat dan kesungguhan yang senada dan bersatu padu untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ketua Pergerakan Pemuda, Khairy Jamaluddin pula berkata, Najib menyeru anggota Umno bertindak agresif mendekati rakyat bagi menanam keyakinan bahawa visi serta hala tuju Umno lebih baik daripada pembangkang.

Khairy berkata, seruan itu dilaungkan bagi memastikan parti keramat orang Melayu itu mampu mempertahankan kemenangan yang dikecapi pada pilihan raya umum (PRU) sebelumnya.

Ketua Pergerakan Puteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, Najib mengingatkan semua sayap parti agar bersatu sebagai satu ikatan dengan semangat untuk menang dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

Rosnah berkata, kesepaduan dan kesepakatan itu boleh ditunjukkan dengan menyokong penuh sesiapa sahaja yang terpilih untuk menjadi calon pilihan raya.

"Anggota Umno perlu sentiasa bersiap sedia, sama ada yang muda ataupun yang tidak terpilih sebagai calon untuk memberi komitmen dan menunjukkan kesetiaan bagi memenangi pilihan raya dengan cemerlang," katanya.

Sementara itu, Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, Najib mengingatkan anggota parti untuk terus bekerja kuat dan memberi khidmat kepada rakyat.

Anggota MT, Datuk Seri Mustapa Mohamed pula berkata, Presiden Umno mengingatkan semua perwakilan supaya lebih agresif dalam menghadapi pembangkang pada pilihan raya umum akan datang demi memastikan Umno mencapai kejayaan cemerlang.

Ke arah itu, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata, semua anggota parti perlu mengenal pasti seterusnya memperbaiki kelemahan yang ada serta menyokong apa juga keputusan presiden.

"Yang penting kita kena bersatu, jangan ada sabotaj dan apa jua keputusan yang dibuat oleh presiden perlu dipersetujui... calon yang dipilih hendaklah disokong habis-habisan," katanya.

Seorang lagi anggota MT, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata semasa taklimatnya, Najib bertindak sebagai seorang kapten dan sangat berterus-terang dalam memastikan matlamat dan mesej yang ingin disampaikan kepada pewakilan tercapai.

"Kejayaan dalam pilihan raya itu adalah sesuatu yang boleh dicapai tetapi syaratnya Umno mesti teguh dan kukuh," katanya dan menambah Najib juga mahu perwakilan menunjukkan bahawa parti itu sudah berubah selaras dengan tuntutan semasa dan kehendak rakyat.

Sementara itu, anggota MT Tan Sri Rafidah Aziz berkata, anggota Umno mesti bersatu sebagai sebuah pasukan untuk memenangi pilihan raya dan menguasai semula negeri-negeri yang jatuh ke tangan pembangkang.

Katanya, jika Umno dan BN menang dua per tiga kerusi Parlimen dan membentuk kerajaan yang kuat, Malaysia juga akan mempunyai kedudukan yang kukuh di persada antarabangsa.

"Sekarang ini kita dalam era yang global, bukannya persoalan diri nak jadi calon, persoalan siapa calon kita nak pilih, tapi soal parti yang kita perlu menangkan kerana agenda rakyat yang kita nak laksanakan," katanya.

Seorang lagi anggota MT, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, anggota parti perlu menekankan aspek perpaduan dalam usaha untuk memenangi pilihan raya nanti.

"Kita jangan lupa pentingnya sokongan kaum-kaum lain untuk BN menang. Sekarang kaum Cina sudah mula memberi sokongan kepada kita," katanya.

Beliau turut mengharapkan anggota Umno dapat menjalankan tanggungjawab bukan untuk kepentingan individu sebaliknya demi kemakmuran negara. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Kolumnis

iklan

Iklan