Laporan Kebakaran Kapal Tangki Siap Februari

Diterbitkan: Isnin, 26 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Laporan lengkap mengenai kejadian kebakaran di atas kapal tangki milik Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) Berhad, Bunga Alpinia di Labuan, Sabah pada Julai lepas, dijangka siap Februari tahun depan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Jelaing Mersat.

Beliau berkata siasatan telah mula dilaksanakan Julai lalu dan menggunakan kepakaran daripada luar untuk menentukan sama ada wujud kesilapan teknikal atau kegagalan peralatan ketika aktviti memunggah minyak ke dalam tangki dilakukan. "Siasatan masih berjalan. Kita belum dapat laporan sepenuhnya. Pihak penyiasat sudah menggunakan pakar dari seberang laut untuk menentukan (secara teknikal) apakah yang tidak kena dengan peralatan (yang digunakan) seperti tangki dan alat untuk memindahkan minyak ke dalam tangki.

"Dipercayai ada kebocoran dan ketika kejadian, berlaku cuaca buruk," katanya menjawab soalan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) pada sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Azmin ingin tahu punca sebenar kejadian letupan kapal tangki tersebut yang berlaku di Jeti Terminal Loji Petronas Methanol, Labuan pada 26 Julai lepas dan jumlah mangsa yang terlibat. Jelaing menjelaskan kejadian tersebut telah mengorbankan lima orang anak kapal, yang terdiri daripada empat warganegara Malaysia dan seorang warganegara Filipina.

Katanya kementerian juga akan mendapatkan bantuan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) untuk melakukan siasatan secara menyeluruh.

Katanya pada masa sama, pihak MISC telah memberi amaran kepada pemilik kapal yang membawa bahan methanol supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

Beliau juga berkata jumlah kerugian berhubung kejadian itu masih belum diketahui dan tuntutan kerugian akan diselesaikan di antara pemilik kapal dan pihak insurans. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan