Kerajaan Selangor Nafi Seroja Sabotaj Rukun Tetangga - ADUN Chempaka

Diterbitkan: Isnin, 26 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor pada Isnin menafikan penubuhan Skim Rondaan Kejiranan (Seroja) untuk mensabotaj Rukun Tetangga yang diperkenalkan Kerajaan Persekutuan.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan kerajaan negeri, Iskandar A. Samad berkata, Seroja bukan untuk bersaing dengan Rukun Tetangga.

"Timbul tuduhan bahawa kerajaan negeri cuba sabotaj Rukun Tetangga dan juga Skim Rondaan Sukarela (SRS). Kita bukan nak sabotaj tetapi sebagai sokongan kepada Rukun Tetangga.

"Ini kerana di pangsapuri tidak ada Rukun Tetangga, tidak ada SRS," katanya kepada para pemberita di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, Isnin.

Iskandar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka berkata, beliau berharap agar Kerajaan Persekutuan tidak memandang serong terhadap usaha kerajaan negeri dalam menubuhkan Seroja yang didakwa mahu mensabotaj Rukun Tetangga.

"Perumahan ini adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Dan kita juga berharap agar Kerajaan Persekutuan terlibat sama," katanya.

Rukun Tetangga yang diperkenalkan Kerajaan Persekutuan pada tahun 1975 merupakan program sukarela yang bertujuan untuk membantu dalam pembangunan masyarakat setempat di Malaysia termasuk menjamin keselamatan penduduk di kawasan kejiranan.

Menurut Iskandar, Seroja ditubuhkan khusus untuk penduduk pangsapuri di Selangor yang mahu membuat rondaan keselamatan di kawasan perumahan mereka.

"Rondaan adalah terhad kepada kawasan-kawasan di bawah bidang kuasa Pengurusan Bersama (JMB) dan Jawatankuasa Pengurusan (MC)," katanya.

Beliau menambah, Seroja merupakan sebahagian daripada Kempen Pangsapuri Kita Bersih, Ceria dan Harmoni yang dilancarkan pada tahun 2009.

"Oleh itu, skim ini mempunyai matlamat yang lebih luas seperti mewujudkan rasa tanggungjawab di kalangan penduduk, menghidupkan semangat gotong-royong dan membanteras vandalisme," katanya.

Terdahulu, Iskandar merasmikan kawasan perintis bagi Seroja di Pangsapuri Taman Puchong Permai di Puchong pada 10 November lalu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan