Wanita Muda Perlu Berani Ceburi Bidang Kritikal

Diterbitkan: Ahad, 25 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Golongan wanita muda di negara ini perlu meneruskan perjuangan memartabatkan golongan wanita dan berani menceburi bidang kritikal seperti perubatan, kejuruteraan, aeroangkasa dan nano-teknologi.

Isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata sebagai golongan pelapis mereka harus terus relevan dalam arus pembangunan dan sentiasa berusaha meningkatkan kemampuan diri.

"Barulah nanti saudari-saudari mampu berdiri sama tinggi dengan golongan lelaki apabila setiap yang ada di hadapan saya ini merupakan wanita muda profesional.

"Saya harap saudari-saudari tidak mudah putus asa kerana bukan senang untuk berjaya di mana kita perlu komited serta fokus," katanya pada Himpunan Wanita Muda Negara 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Ahad.

Rosmah selaku penaung himpunan itu turut memuji sikap keterbukaan golongan wanita yang dapat menerima teguran dan pandangan orang lain dan mampu membantu golongan itu untuk memainkan peranan membangunkan negara.

"Sikap ini sudah pasti dapat memudahkan mereka menjadi pemimpin yang mampu membangunkan negara dengan penuh komited dengan dipayungi perpaduan antara rakyatnya," katanya.

Beliau menasihatkan golongan wanita khususnya wanita muda supaya menanamkan semangat juang yang tinggi dengan berusaha bersama-sama untuk meningkatkan taraf hidup ke arah yang lebih baik, progresif serta berdaya saing.

"Kita jangan lemah dengan kata-kata yang boleh menjatuhkan kita... bahkan saya sendiri selalu mendengar cerita kurang manis tentang diri saya sendiri.. tetapi ia langsung tidak menjejaskan saya kerana saya perlu meneruskan kehidupan demi suami saya, anak-anak saya, negara saya, Barisan Nasional dan juga wanita muda," katanya.

Justeru itu, Rosmah mahu golongan wanita keluar daripada kerangka Malaysia dengan menerokai sesuatu bidang hingga ke peringkat global dan meletakkan penanda aras supaya pencapaian setaraf dengan wanita di negara maju.

"Justeru majlis seumpama ini merupakan satu platform amat baik dan relevan kepada golongan wanita bagi mendapatkan pendedahan mengenai pelbagai bidang serta berkongsi pengetahuan dan pengalaman di samping meningkatkan jaringan atau 'network'," katanya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata himpunan itu berjaya membuka minda golongan wanita muda dengan membantu menganjakkan paradigma golongan tersebut dalam mencorakkan pembangunan negara.

"Wanita muda sebagai aset negara yang tidak ternilai ini perlu dibimbing bagi memastikan tahap kesiapsiagaan sentiasa utuh dan teguh," katanya.

Menurut Rosnah, himpunan yang berteraskan kepada empat moto utama iaitu Inspirasi, Dedikasi, Ekspresi dan Aspirasi (IDEA) itu mampu menjadi pemangkin bagi melonjakkan semangat serta tekad wanita muda di negara ini.

"Moto ini apabila digabungkan akan membentuk satu idea selari dengan keperluan wanita muda untuk mengetengahkan bakat serta potensi sebenar mereka," katanya.

Himpunan tersebut turut mengiktiraf pencapaian wanita muda yang cemerlang melalui penganugerahan beberapa anugerah antaranya Cabaran Pidato Wanita Muda, Cabaran Rancangan Perniagaan Wanita Muda dan Cabaran Penyelidikan Gender.

Nur Farhanis Mohd Sukri, 24, johan kategori Cabaran Penyelidikan Gender berkata beliau amat berbesar hati apabila dipilih sebagai johan bagi kategori tersebut dan akan terus berusaha memartabatkan golongan wanita muda.

Mahasiswi jurusan Sains Pentadbiran dari Universiti Teknologi Mara itu menjalankan tesis mengenai status kualiti hidup wanita sebagai pembuat keputusan dalam membantu mencapai status kualiti hidup yang lebih baik.

Himpunan yang mengumpulkan kira-kira 10,000 wanita muda daripada pelbagai latar belakang itu merupakan satu permulaan ke arah mensinergikan keupayaan wanita muda ke tahap yang lebih baik. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan