Rakyat Sabah Diingat Waspada Terhadap Anasir Laga Suku Kaum

Diterbitkan: Sabtu, 24 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BEAUFORT: Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman meminta rakyat Sabah khususnya di Beaufort berwaspada dengan anasir-anasir pihak tertentu yang suka melaga-lagakan suku kaum di negeri itu.

Beliau berkata sikap sedemikian amat mengecewakan memandangkan ia menjurus kepada kepentingan peribadi bagi sesetengah pihak.

"Saya ingin mengingatkan jangan sesekali membangkitkan suku-suku itu dan ini di bumi Malaysia yang aman damai ini terutama di Sabah yang terdiri daripada lebih 30 suku kaum dan etnik.

"Ini adalah 'role model' kepada gagasan 1Malaysia yang dilihamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," kata Musa ketika berucap merasmikan Festival Bagandang Beaufort 2012 di tapak tamu Beaufort, di sini, Sabtu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata kerajaan negeri mahupun pusat sentiasa peka terhadap kehendak rakyat melakukan pelbagai usaha memajukan negara ini tanpa meminggirkan Sabah dalam program transformasi dan Belanjawan 2013.

Musa menegaskan kerajaan negeri akan terus melimpahkan pembangunan di daerah itu termasuk kawasan sekitarnya sesuai dengan kedudukannya yang strategik.

Beliau berkata kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah akan mempromosikan Beaufort sebagai salah satu lokasi pelancongan yang menarik di negeri itu.

Bercakap pada sidang akhbar kemudiannya, Ketua Menteri berkata kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri akan memasukkan festival itu sebagai aktiviti tahunan dalam kalendar pelancongan negeri.

Musa berharap festival itu akan terus memberi kekuatan untuk memantapkan perpaduan bagi menjamin kestabilan, keamanan dan kemakmuran rakyat negeri itu secara keseluruhannya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri yang juga penaung jawatankuasa pelaksana Festival Bagandang, Datuk Azizah Mohd Dun berkata warisan budaya itu harus dikekalkan kerana ia menjadikan Beaufort sebagai identiti pusat bagandang terbaik di negeri di bawah bayu.

"Selain itu, untuk memberi kelainan pada tahun ini, kita menjemput penggiat seni dari negara jiran Brunei dan dari Sarawak untuk sama mengambil bahagian," katanya.

Festival kali ke-empat itu yang berlangsung selama empat hari berakhir esok menampilkan pelbagai pengisian seperti pertandingan Ratu Bagandang dan persembahan kebudayaan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan