UPM Universiti Pertama Di Asia Tenggara Perkenal 'Program Texas Instruments'

Diterbitkan: Khamis, 22 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi universiti pertama di Asia Tenggara untuk 'Program Universiti Texas-Instruments (TI)' menerusi kerjasama dengan TI untuk memperkukuhkan kepakaran pelajar dalam ujian elektronik analog dan kejuruteraan produk.

Texas Instruments merupakan syarikat semi-konduktor dan pengeluar litar bersepadu (IC) analog terbesar di dunia.

Timbalan Naib Canselor UPM, Prof Datuk Ir Dr Mohd Salleh Jaafar berkata, misi universiti adalah memberi sumbangan bermakna kepada penjanaan kekayaan, pembangunan negara dan kemajuan manusia menerusi pendedahan dan penyebaran ilmu.

"Kami menggalakkan fakulti-fakulti di universiti untuk mempertingkatkan kerjasama mereka dengan industri di negara ini mahupun antarabangsa.

"Oleh itu, kerjasama UPM dan Texas Instruments selama tiga tahun bagi fasa pertama yang bermula pada Januari tahun depan menjadi penambahbaikan dalam kemudahan pembelajaran dan kepakaran para pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UPM dan Texas Instruments Malaysia di sini, Khamis.

Menerusi kerjasama ini, Texas Instruments akan melibatkan Teradyne, peneraju pembekal Peralatan Ujian Automatik (ATE) untuk peranti semi-konduktor elektronik analog yang menyediakan kemudian penguji, latihan dan sokongan teknikal kepada golongan profesor dan pelajar di UPM dalam program sarjana muda elektronik.

Dr Mohd Salleh berkata, UPM mahu memperkukuhkan bidang kejuruteraan selain makanan dan pertanian.

"Kita mahu ke hadapan melahirkan bakat-bakat dan pakar-pakar di kalangan pelajar menerusi pendedahan yang lebih baik.

"Kompetensi mereka ini kelak diharapkan dapat mewujudkan peluang kerjaya lebih cerah dalam industri kejuruteraan," katanya.

Mengenai kerjasama tersebut, Dr Mohd Salleh berkata, dianggarkan seramai 150 pelajar dari Fakulti Kejuruteraan akan mengikuti model berkenaan secara berperingkat dalam fasa pertama.

"Kerjasama tiga tahun ini adalah permulaan dan persediaan. Ia akan diteruskan bagi mempertingkatkan kepakaran para pelajar secara berterusan," katanya, sambil menambah pada masa ini terdapat kira-kira 3,000 pelajar di Fakulti Kejuruteraan UPM.

Sementara itu, Pengarah Urusan Texas Instruments Malaysia, Eduardo Bernal berkata, pemilihan UPM untuk kerjasama ini bukan calang-calang kerana ia dinilai berdasarkan kualiti pengajaran dan pembelajaran serta keupayaan tenaga pengajar dan pelajar.

"Kami melihat fakulti kejuruteraan (UPM) mempunyai potensi untuk diperkembangkan di samping mempertingkatkan pengetahuan terhadap jurutera yang dilahirkan oleh universiti pada masa akan datang," katanya.

Bernal menambah, kerjasama dengan UPM menunjukkan signifikan baru bagi Texas Instruments yang sudah pun mengadakan hubungan strategik khususnya dalam kepakaran teknologi dan kejuruteraan dengan ratusan universiti di seluruh dunia selain Asia Tenggara.

Texas Instruments mula bertapak di Malaysia sejak 40 tahun lalu pada tahun 1972 dalam komitmennya untuk membangunkan persediaan bakat kejuruteraan di negara ini.

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Ayda Jebat Kecewa Mainan Politik

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Kolumnis

iklan

Iklan