Kuasa Mutlak Lantik YDP & Datuk Bandar Masih Bidang Kuasa JPA - MB S'gor

Diterbitkan: Khamis, 22 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri Selangor pada Khamis diberitahu bahawa kuasa mutlak mengenai pertukaran seseorang Yang Dipertua (YDP) pihak berkuasa tempatan masih lagi berada di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Perkara ini disahkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika menjawab soalan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya, Hannah Yeoh.

Hannah dalam soalannya telah bertanya siapakah yang mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan jawatan Datuk Bandar atau YDP.

Khalid yang menjawab soalan itu bagi pihak kerajaan negeri menegaskan kuasa mutlak pertukaran atau pelantikan YDP mahupun Datuk Bandar masih tertakluk di bawah JPA.

Walaupun kata Khalid beliau ada memberikan rancangan peralihan kepada JPA berhubung perkara itu tetapi akhirnya kuasa mutlak menentukan siapakah yang layak dilantik ke jawatan tersebut masih di bawah JPA.

Dalam konteks pertukaran YDP Majlis Perbandaran Selayang baru-baru ini Khalid menegaskan, rancangan peralihan yang disediakannya bertujuan engelakkan krisis kepimpinan yang mungkin berlaku sekiranya pertukaran itu dilakukan tanpa notis awal.

“Memang saya ada memberikan pelan peralihan tersebut kepada JPA, tetapi ia hanya persediaan bagi mengelak krisis pengurusan sekiranya secara tiba-tiba YDP itu ditukar.

“Selain itu, saya juga ada menyediakan rancangan pertukaran tugasan bagi mengelakkan situasi kelam-kabut dalam sesebuah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT),” kata beliau.

Beliau juga menjelaskan cara pemilihan Datuk Bandar dan YDP dilakukan melalui satu proses tradisional yang menyaksikan pegawai-pegawai kanan kerajaan dilantik untuk mengisi jawatan tersebut.

Jalan terbaik ialah, katanya, dengan meminta JPA negeri berbincang dengan JPA pusat.

Akhirnya jelas beliau, JPA dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) bersetuju memberikan kuasa melantik YDP dan Datuk Bandar kepada menteri besar.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan