BN Selangor Pertikai Pemindahan Aset PKNS Kepada Anak Syarikat

Diterbitkan: Khamis, 22 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Barisan Nasional Selangor mempertikai tindakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memindahkan lima aset bernilai RM321 juta kepada anak syarikat milik penuhnya, Private Real Estate Co (PREC) dan menyifatkan tindakan itu ada 'udang di sebalik batu'.

Abdul Shukor Idrus (BN-Kuang) berkata lima aset itu ialah Komplek PKNS Shah Alam, Wisma Yakin Kuala Lumpur, Kompleks PKNS Bangi, Menara PKNS Petaling Jaya dan SACC Mall, yang merupakan pusat perniagaan bagi bumiputera berjaya.

Beliau berkata demikian ketika membahas ucapan Belanjawan 2013 Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini. Barisan Nasional merupakan pembangkang dalam Dun Selangor.

Abdul Shukor berkata PREC tidak banyak tertakluk kepada kawalan kerajaan negeri dan Perbendaraan Malaysia berbanding syarikat induknya, PKNS.

"Tiada jaminan bahawa PREC akan terus menjadi milik PKNS... terdedah kepada risiko dibeli oleh pihak swasta atau individu melalui proses 'management buy out' dengan izin. Kalau ini berlaku, aset tersebut tidak lagi menjadi milik PKNS dan rakyat Selangor," katanya.

Beliau berkata difahamkan sebuah syarikat lain, yang dikenali sebagai Central Holdings Bhd, berminat membeli aset yang dipindahkan kepada PREC.

Selain risiko harta itu bertukar milik, kemungkinan sewa akan dinaikkan PREC di luar kemampuan majoriti penyewa asal atau penyewa baru apabila PREC menambah baik kompleks perniagaan itu, katanya.

"Akhirnya, mereka yang tidak mampu bayar kenaikan sewa, terpaksa keluar dan digantikan dengan orang lain. Lama-kelamaan bukan lagi menjadi Pusat Perniagaan Bumiputera," katanya.

Abdul Shukor juga berkata terdapat cadangan untuk menjual sebahagian saham Worldwide Holdings Bhd, milik PKNS kepada syarikat WorldClass Title Sdn Bhd, sebuah syarikat yang baharu ditubuhkan pada 26 Mac lepas, dimiliki dua pemegang saham bukan bumiputera.

"Walaupun penjualan ini belum dimuktamadkan, tetapi niat hendak menjual sudah ada, dan proses pemindahan saham sedang dijalankan," katanya.

Beliau juga mempersoal kemerosotan unit rumah yang dibina PKNS sejak tiga tahun kebelakangan ini, yang mana antara tahun 2001 hingga 2005, hanya 3,000 unit dibina dalam setahun. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan