RCI Projek IC Hanya Untuk Sabah

Diterbitkan: Rabu, 21 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk meluaskan skop siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai projek pemberian kad pengenalan kepada warga asing selain daripada negeri Sabah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk VK Liew berkata, skop siasatan itu kekal kerana masalah pemberian kad pengenalan kepada warga asing ini tidak wujud di negeri-negeri Semenanjung.

"Kerajaan tidak bercadang untuk meluaskan skop siasatan RCI mengenai dakwaan pemberian warganegara kepada pendatang asing di Sabah kepada negeri di Semenanjung kerana tidak wujud masalah memberi taraf kewarganegeraan kepada warga asing di Semenanjung.

"Kerajaan sememangnya sentiasa komited dalam mematuhi hak rakyat dan kedaulatan Malaysia dilindungi selaras dengan Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Mohd Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) yang mahu Perdana Menteri menyatakan sama ada kerajaan bersedia meluaskan skop siasatan RCI mengenai pemberian warganegara kepada pendatang asing di Sabah kepada negeri di Semenanjung.

Hatta mendakwa selepas lima bulan RCI ini ditubuhkan sejak Jun lalu, masih belum ada sebarang perkembangan mengenai keberkesanan jawatankuasa terbabit.

Beliau mendakwa masalah ini turut wujud di negeri lain apabila terdapat beberapa insiden permohonan untuk mendapatkan taraf warganegara amat mudah dan segera diberikan.

"Mereka itu berada tak cukup lama untuk dianugerahkan kad pengenalan. Ada yang (kerja) tukang sapu pun boleh dapat warganegara.

"Betapa mudahnya jadi warganegara (Malaysia)...kita ada masalah yang sama di negeri lain di Semenanjung," katanya ketika bangkit mengemukakan soalan tambahan.

Namun dakwaan itu disanggah Liew yang mengatakan tugas RCI sudah bermula namun masih diperingkat prosedur mesyuarat untuk menentukan individu yang akan dipanggil sebagai saksi dalam inkuiri termasuk pemberian keterangan melalui afidavit.

"Apa-apa yang diwar-warkan oleh Yang Berhormat (YB) sekiranya ada bukti ada yang memohon melalui prosedur yang tak sah melalui undang undang saya harap YB buat laporan kepada pihak yang berkenaan," katanya.

Mengakui masalah ini yang wujud di Sabah sejak empat dekad lalu, Liew berkata, pihaknya berharap masalah ini dapat diselesaikan dengan memberi peluang dan sedikit masa kepada RCI untuk menjalankan tugas.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan