Pelaksanaan AES Diteruskan

Diterbitkan: Rabu, 21 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Usaha wakil rakyat pembangkang menghalang Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dilaksanakan berakhir apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Belanjawan 2013 bagi Kementerian Pengangkutan.

Rang Undang-Undang itu diluluskan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia selepas memperoleh persetujuan majoriti Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) melalui undi belah bahagi (bersetuju:78, tak bersetuju:49).

Pandikar memutuskan untuk segera menamatkan penggulungan selepas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha menerima tekanan bertubi-tubi daripada ahli parlimen pembangkang yang bangkit mempersoalkan AES.

Dewan Rakyat sebelum itu gamat ketika membahaskan penggulungan apabila Kong dihujani pelbagai persoalan dan dakwaan mengenai pemasangan kamera AES serta keberkesanannya mengurangkan jumlah kematian.

Keadaan bertambah kecoh apabila Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) menimbulkan persoalan mengenai dua syarikat utama yang mendapat tender pemasangan kamera AES, iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd.

Mahfuz berkata melalui maklumat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), ATES Sdn Bhd merupakan syarikat berdaftar pada 12 Februari 2009 dan perniagannya berasaskan konsesi yang diperoleh daripada kerajaan termasuk sistem penguatkuasaan trafik automatik.

Manakala Beta Tegap Sdn Bhd yang didaftar pada 7 Februari 2004 mendapat kelulusan kerajaan menjalankan operasi membekalkan barangan dan perkhidmatan, menguji, serta memasang AES.

"Macam mana dua syarikat ini tahu dia boleh dapat jaminan tender daripada kerajaan sedangkan Kabinet luluskan AES pada tahun 2006 dan saringan pemilihan tender dilakukan tahun 2008?

"Dia daftar syarikat semata-mata nak dapat tender.

"Ini menunjukkan ada perkara yg tak kena...ini bukan untuk menyelamatkan nyawa manusia tapi untuk mengkayakan syarikat swasta.

Walaupun Speaker cuba untuk menenangkan keadaan namun usaha itu tidak berjaya apabila Mahfuz tetap berdiri membangkitkan hujah dan persoalan.

Kemudiannya, Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) bangkit mendesak agar perjanjian pemberian tender antara dua syarikat terbabit dengan Kementerian Pengangkutan yang menjadi Akta Rahsia Rasmi didedahkan kepada umum.

Kong bagaimanapun dilihat cuba bersikap tenang dan menepis segala dakwaan.

"Ahli-ahli Yang Berhormat tak nak dengar jawapan saya...sengaja nak putar belit dan kelirukan Dewan...tapi tidak mengapa, darah tinggi saya belum naik," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan