Ketua Pemuda MIC Bahagian Batu Kawan Letak Jawatan

Diterbitkan: Rabu, 21 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUTTERWORTH: Ketua Pemuda MIC Bahagian Batu Kawan Dr D. K. Devavijayan hari ini meletak jawatan dalam parti itu berkuat kuasa serta-merta bagi memberi tumpuan kepada perniagaannya.

Devavijayan, 36, berkata beliau telah menghantar surat peletakan jawatannya kepada Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan Pengerusi MIC Bahagian Batu Kawan R. Muthiah hari ini, memaklumkan hasratnya itu.

"Saya masih anggota MIC dan menyokong kuat Barisan Nasional, cuma saya tidak boleh memberi komitmen terhadap jawatan itu (Ketua Pemuda MIC Batu Kawan) kerana dalam masa yang sama perlu menguruskan perniagaan.

"Saya sudah lama memikirkan perkara ini (meletak jawatan) kerana perniagaan saya tiada sesiapa uruskan dan saya juga bimbang jika pilihan raya nanti saya gagal memberi fokus terhadap kerja-kerja parti berikutan urusan perniagaan," katanya ketika dihubungi, di sini Selasa.

Katanya beliau tidak akan menarik balik peletakan jawatan itu walau dipujuk oleh mana-mana pihak kerana percaya keputusan tersebut adalah yang terbaik baginya dan MIC.

Beliau juga berkata keputusan itu dibuat bukan atas desakan mahupun pengaruh mana-mana pihak.

Sementara itu, Ketua Pemuda MIC Pulau Pinang J. Dhinagaran berkata beliau akan bertemu dengan Devavijayan dalam tempoh terdekat bagi mengetahui punca sebenar peletakan jawatannya.

"Saya terkejut menerima sistem pesanan ringkas (SMS) Devavijayan yang menyatakan beliau meletak jawatan serta-merta kerana selama ini beliau sangat komited dalam melaksanakan tanggungjawabnya di peringkat bahagian, negeri dan pusat.

"Lebih memeranjatkan kerana beliau rapat dengan presiden parti dan saya akan bertemunya paling lewat pagi esok untuk memberikan nasihat serta pandangan.

"Selain itu, saya akan cuba meminta beliau menarik balik peletakan jawatan itu kerana parti memerlukan pemimpin berdisiplin sepertinya," katanya ketika dihubungi. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan