Kerajaan Tidak Cadang Laksana Sistem Kerahan Tenaga

Diterbitkan: Rabu, 21 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang mewajibkan pelaksanaan sistem kerahan tenaga di kalangan belia di negara ini, kata Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Beliau berkata pasukan askar Wataniah sedia ada sudah memenuhi kepentingan pertahanan negara.

"Kerajaan telah membuat pelbagai simulasi iaitu kajian mengenai keberkesanan kerahan yang diwajibkan seperti di negara Singapura dan kepentingan sistem kerahan di negara ini," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau).

Ismail ingin tahu sama ada Kementerian Pertahanan bercadang melaksanakan kerahan kepada belia berusia 21 tahun di negara ini berikutan senario dasar pertahanan global dan keperluan askar simpanan, seperti yang dilaksanakan di beberapa negara.

Abdul Latiff berkata pasukan askar Wataniah telah diterapkan dengan polisi pertahanan menyeluruh, yang mana pegawai berpangkat atau biasa perlu menjalani latihan minimum 240 jam, atau 10 hingga 12 hari, membabitkan tempoh 10 jam latihan setiap hari.

"Mereka dilatih dan diberi segala keperluan taktik peperangan kombat. Kalau negara menghadapi situasi darurat, mereka ini mempunyai kepakaran yang sama hebat dengan askar biasa," katanya.

Beliau berkata sehingga kini, jumlah kompeni Askar Wataniah Parlimen ialah 222 iaitu di setiap kawasan Parlimen seluruh negara. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan