Tarikh Tutup Tender Langat 2 Dilanjutkan

Diterbitkan: Selasa, 20 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tarikh tutup tender untuk Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) yang pada asalnya ditetapkan pada 20 November 2012 telah dilanjutkan kepada 27 Disember ini.

Menurut sumber Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), penangguhan tarikh tersebut dibuat atas permintaan penender yang mahukan tempoh penyerahan dipanjangkan.

"Berikutan saiz dan dan kerumitan untuk melaksanakan projek, kami mendapat permintaan daripada penender berpotensi supaya melanjutkan tarikh penyerahan," demikian kenyataan ringkas daripada PAAB yang dihantar kepada mStar Online, Selasa.

PPAB diminta mengulas mengenai perkembangan tender yang mana tarikh tutupnya pada asalnya dijadualkan pada hari ini (Selasa).

Langat 2 dicadangkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) sebagai persediaan menghadapi krisis air di Selangor, K.Lumpur dan Putrajaya yang dijangka berlaku pada 2016 dan merupakan sebahagian daripada Projek Penyaluran Air Mentah Pahang dan Selangor (PPAMPS).

Menerusi projek ini air mentah akan disalurkan ke Langat 2 dari Sungai Semantan, Pahang melalui terowong sebelum dirawat dan digunakan seluruh penduduk Lembah Klang yang dijangka memerlukan sebanyak 2,000JLH (juta liter sehari) pada waktu itu.

Tender terbuka untuk projek ini telah diiklankan pada 4 September lalu manakala taklimat tender diadakan pada 12 September.

Sebanyak 65 syarikat yang berminat dengan projek ini telah menghadiri taklimat tender yang dikendalikan oleh PAAB.

Penjualan tender dibuat dari 12 September hingga 12 Oktober 2012.

Langat 2 dijangka akan mula dilaksanakan pada Jun 2013, selepas penganugerahan tender kepada syarikat yang dipilih dan bakal mengambil masa selama 45 bulan atau anggaran kasar selama empat tahun untuk disiapkan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan