Malaysia Tidak Akan Hadapi Krisis Tenaga Elektrik - Peter Chin

Diterbitkan: Selasa, 20 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan bahawa negara tidak akan menghadapi krisis elektrik berikutan kos sumber bahan api yang tinggi atau kehabisan sumber berkenaan.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata pelbagai kajian sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa untuk mengenal pasti sumber alternatif yang boleh digunakan tanpa melibatkan kos yang tinggi.

"Kita memang akan sedaya upaya memastikan penjanaan elektrik bagi kegunaan rakyat dan industri akan terus dibela di dalam tahap yang sihat dan mampan," katanya ketika menjawab soalan Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Zuraida ingin tahu kemungkinan negara menghadapi krisis tenaga dan sejauh mana bekalan sumber bahan api mampu bertahan.

Dalam pada itu, Chin berkata kementerian melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA Malaysia) sedang mengkaji potensi dan kesesuaian tenaga angin dan geoterma sebagai sumber baru Tenaga Boleh Baharu (TBB) yang boleh dibangunkan.

Katanya jika didapati sesuai, ia akan tersenarai dalam Jadual sumber TBB Akta TBB 2011, bersama lima lagi TBB yang dikenal pasti berdaya maju untuk dimajukan iaitu mini hidro, biomas, biogas, solar dan sisa pepejal perbandaran.

Selain itu, beliau berkata SEDA Malaysia juga bekerjasama dengan Jabatan Mineral Geosains dan Galian untuk melaksanakan kajian potensi geoterma sama ada mempunyai potensi untuk dieksploitasi sebagai sumber bahan api bagi penjanaan elektrik di negara ini.

Katanya, SEDA Malaysia juga sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam usaha untuk mengenal pasti sumber tenaga baharu dan alternatif yang lebih mesra alam bagi mewujudkan alam sekitar yang lebih lestari demi generasi akan datang. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan