Perdagangan China-Malaysia Dijangka Terus Meningkat

Diterbitkan: Isnin, 19 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PHNOM PENH: Perdagangan dua hala China-Malaysia telah bersedia untuk terus berkembang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin.

Beliau berkata, penggunaan mata wang tempatan untuk perdagangan antara kedua-dua negara akan terus menyaksikan peluasan perdagangan dua hala berkenaan.

China melahirkan keyakinan seumpama itu selepas Najib mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri China, Wen Jiabao, di sini, malam Ahad, atas jemputan pemimpin China itu di luar acara Sidang Kemuncak Asean yang ke-21.

Berikutan jadual ketat Najib menghadiri Sidang Kemuncak Asean dan mesyuarat dua hala di luar acara itu pada Ahad serta persidangan-persidangan yang berkaitannya pada Isnin, beliau hanya sempat mengadakan sidang akhbar selama 10 minit sebelum bergegas untuk menghadiri jadual mesyuarat tanpa henti yang lain.

Jumlah perdagangan antara kedua-dua negara berjumlah sehingga AS$54.5 bilion tahun lepas dan ia meningkat 10.5 peratus kepada AS$38.1 bilion antara Januari dan Ogos tahun ini berbanding tempoh yang sama 2011.

Najib berkata, China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia sejak tahun 2009.

"China kini merupakan pasaran eksport terbesar Malaysia (AS$29.8 bilion) dan sumber import (AS$24.7 bilion)," kata beliau.

Eksport utama Malaysia ialah produk elektrik dan elektronik, minyak sawit, kimia sementara import utama ialah produk elektrik dan elektronik, mesin, kimia, peralatan dan alat ganti.

Dalam mengemudikan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara ke tahap yang lebih tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang, Najib berkata, kedua-dua negara kini sedang memuktamadkan Pelan Kerjasama Ekonomi Lima Tahun, meliputi tempoh 2013 dan 2017.

"China dijangka mengemukakan pelan draf disatukan dalam tempoh beberapa minggu akan datang untuk pertimbangan Malaysia," kata beliau.

Najib berkata, bidang-bidang kerjasama itu meliputi pertanian, infrastruktur, pembuatan, industri, pelaburan, perkhidmatan, jual borong, sumber mineral, taman perindustrian dan zon pemprosesan eksport, logistik dan sanitari.

Beliau berkata, yang Wen yakin kepimpinan China yang baru yang dijangka mengambil alih pada Mac tahun depan akan terus memberikan perhatian kepada mengukuhkan kerjasama ekonomi dengan Malaysia.

Najib berkata, kedua-dua negara kini giat bekerjasama ke arah pelaksanaan sepenuhnya dua taman perindustrian ikonik - Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (QIP) di China dan Taman Perindustrian Kuantan (KIP) di Malaysia.

Syarikat usaha sama Malaysia-China telah ditubuhkan dengan modal berbayar permulaan AS$300 juta dalam membangunkan QIP yang dirasmikan oleh kedua-dua Wen dan Najib di China pada April lepas.

Kerajaan Malaysia, kata beliau, akan terus menggalakkan syarikat-syarikat Malaysia yang diterajui oleh Rimbunan Hijau dan SP Setia untuk turut serta secara aktif dalam projek ini.

Najib berkata, KIP akan dilancarkan secara rasmi pada suku pertama tahun depan.

KIP ialah usaha sama antara Malaysia dan China dengan struktur ekuiti 51 peratus untuk konsortium Malaysia dan 49 peratus diperuntukkan bagi Konsortium Usaha Sama PRC.

Beliau berkata, kedua-dua pemimpin juga gembira dengan situasi hubungan dua hala yang menjangkau kerjasama rasmi.

"Perdana Menteri Wen menyatakan yang hubungan China-Malaysia berada di barisan hadapan hubungan China-Asean," kata beliau.

Ditanya mengenai isu Laut China Selatan, Najib mengesahkan komitmen Malaysia kepada penyelesaian aman dan mengulangi isu itu tidak akan menjadi halangan untuk kerjasama dalam bidang-bidang lain.

China, Taiwan, Malaysia, Vietnam, Filipina, Brunei dan Malaysia terlibat dalam tuntutan kewilayahan ke atas bahagian-bahagian laut itu.

Najib turut mengadakan pertemuan dengan Oknha Othsman, pemimpin Islam Kemboja yang merupakan penasihat kepada Perdana Menteri Kemboja Hun Sen mengenai hal-ehwal Islam di sini, Ahad.

Oknha melahirkan penghargaan atas bantuan Malaysia dalam perkara agama dan berharap ia dapat diperluaskan kepada pendidikan dalam membantu masyarakat Champa Melayu, orang Melayu yang bertutur Bahasa Melayu di negara ini.

Kerajaan Malaysia juga akan mempertimbangkan permintaan mereka untuk bantuan Malaysia memajukan Pusat Islamnya di sini, kata perdana menteri.

Menyentuh mengenai Sidang Kemuncak Komemoratif Asean Campur Tiga pada Isnin, Najib mencadangkan Rizab Beras Kecemasan Asean Campur Tiga bagi membabitkan makanan lain selain daripada beras.

"Kami berharap pengeluaran makanan boleh ditingkatkan lagi menerusi penggunaan inovasi teknik dan teknologi," kata beliau.

Asean Campur Tiga ialah kerjasama antara 10 negara anggota Asean dan tiga rakan dialog mereka iaitu China, Jepun dan Korea Selatan.

Selain daripada Sidang Kemuncak Asean Campur Tiga, Najib pada Isnin menghadiri Sidang Kemuncak Asean-Jepun ke-15, Sidang Kemuncak Asean-Republik Korea ke-15, Sidang Kemuncak Asean-India ke-10, Sidang Kemuncak Asean-China ke 15 dan kemudiannya Mesyuarat Ketua-ketua Asean-As keempat, kesemuanya diadakan di Peace Palace, di sini.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama akan menghadiri Mesyuarat Pemimpin Asean-AS keempat.

Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor turut memberikan penghormatan kepada bekas Raja Kemboja Mendiang Norodom Sihanouk di Royal Palace, di sini.

Najib dan Rosmah dijadual menghadiri majlis makan malam Gala yang dihoskan oleh Hun Sen dan isterinya malam Isnin. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan