Urusan Pengeluaran & Pembaharuan Pasport M'sia Dipindahkan Ke Melbourne

Diterbitkan: Ahad, 18 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELBOURNE: Urusan pengeluaran dan pembaharuan pasport Malaysia di Australia akan berpindah dari Canberra ke Melbourne pada awal tahun depan.

Perkara itu diumumkan konsul jeneral Malaysia di sini, Dr Mohd Rameez Yahaya, pada majlis makan malam Malaysia-Singapore Lasallian malam tadi.

Sejak sekian lama, rakyat Malaysia di sini bersungut kerana mereka terpaksa pergi ke Canberra untuk mendapatkan atau memperbaharui pasport masing-masing.

Sejak dibuka di sini pada Jun tahun lepas, pejabat konsulat jeneral mengambil alih sebahagian besar urusan yang sebelum itu dikendalikan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra.

Berikutan langkah yang diumumkan itu, rakyat Malaysia di negeri Victoria, Australia Selatan dan Tasmania akan hanya perlu ke Melbourne, yang lebih dekat dengan tempat mereka, untuk urusan tersebut.

Konsulat Malaysia di Perth akan terus mengendalikan pejabat pasportnya.

Rameez berkata, pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) juga akan berpindah dari Sydney ke Melbourne pada Februari tahun depan dan akan ditempatkan di bangunan yang turut menempatkan pejabat konsulat jeneral Malaysia di St Kilda Road.

Bagaimanapun, pejabat Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia (Mida) akan kekal di Sydney. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan