11 Projek Dibawah Program Transformasi Ekonomi & Koridor Ekonomi Libatkan Pelaburan RM26.09 bilion Diumum

Diterbitkan: Jumaat, 16 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat mengumumkan 11 projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) serta sembilan projek di bawah tiga Koridor Ekonomi dengan nilai pelaburan berjumlah RM26.09 bilion.

Tiga koridor itu ialah Koridor Pembangunan Sabah, Wilayah Ekonomi Koridor Utara dan Iskandar Malaysia.

Bagi 11 projek ETP berkenaan, tujuh merupakan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) iaitu minyak, gas dan tenaga, Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, kandungan komunikasi dan infrastruktur, perkhidmatan perniagaan, penjagaan kesihatan, pelancongan dan pendidikan.

Perdana Menteri berkata, 20 projek akan menyumbang RM10.08 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) pada 2020 dan mewujudkan 64,282 pekerjaan.

Semasa mengumumkan perkembangan terkini ETP yang terakhir bagi tahun ini, Najib berkata meskipun ketidaktentuan global yang berterusan, Malaysia kekal sebagai destinasi menarik untuk pelaburan dan pertumbuhan negara kekal kukuh.

Dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Minyak, Gas dan Tenaga, Najib menjelaskan, Seaport Worldwide Sdn Bhd akan melabur lebih RM1 bilion dalam membangunkan fasa satu projek Petrokimia dan Maritim Tanjung Bin.

Meliputi kawasan seluas 2,255 ekar, kawasan itu diwarta sebagai Zon Perdagangan Bebas dengan tempoh pajakan 99 tahun, kata beliau.

"Ia akan melengkapkan projek-projek lain di Johor, yang akan memacu wawasan Malaysia untuk menjadi hab perdagangan dan penyimpanan petroleum Asia Pasifik," kata beliau lagi.

Dalam NKEA Greater Kuala Lumpur, Nusa Gapurna Development Sdn Bhd akan melabur RM5.23 bilion dalam projek besar untuk menjana dan mencergaskan semula bandar lama Petaling Jaya.

"Pembangunan bandar PJ Sentral Garden yang akan meliputi kawasan seluas kira-kira 40 ekar bersedia untuk menjadi kawasan perniagaan hijau yang baharu di Selangor, menyokong Kuala Lumpur dan hab perniagana lain di sekitar bandar raya dan negeri," jelas beliau.

Di bawah komunikasi, kandungan dan infrastruktur, GPSTech Solutions Sdn Bhd akan melabur RM16.2 juta melalui Sistem Pengangkutan Awam Malaysia (MyPUTRAS). Ia merupakan portal pintar dalam talian dan aplikasi telefon pintar yang boleh didapati pada akhir tahun.

Dalam perkhidmatan perniagaan NKEA, CRF Computer Recovery Facility Sdn Bhd (CRF) akan melabur RM15.5 juta dalam pusat datanya seluas 60,000 kaki persegi.

Bagi penjagaan kesihatan pula, Amanjaya Specialist Centre Sdn Bhd akan melabur RM40.3 juta, Love On Wheels Healthcare Services Sdn Bhd (RM68.56 juta), Medical Innovation Ventures Sdn Bhd (RM8.92 juta), Vigilenz Medical Devices Sdn Bhd (RM25.8 juta) dan Straits Orthopaedics (Mfg) Sdn Bhd (RM76.38 juta).

Najib juga berkata, pelaburan berkenaan akan membantu memperkukuhkan reputasi Malaysia yang semakin berkembang sebagai pusat untuk pelancongan perubatan.

Dalam pelancongan pula, Jewel of Mabul Development Sdn Bhd, pemaju Alorie Lepa Lepa Resort, bakal melabur RM168.4 juta.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan