Kejayaan Permata Negara Hasil Sokongan Kerajaan - Rosmah

Diterbitkan: Rabu, 14 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Rosmah menyampaikan ucaptama di Majlis '4th World Innovation Summit For Education' (WISE) di Qatar Convention Center.

 -fotoBERNAMA
Rosmah menyampaikan ucaptama di Majlis '4th World Innovation Summit For Education' (WISE) di Qatar Convention Center.

 -fotoBERNAMA

DOHA: Permata Negara Malaysia bukan sahaja berjaya menubuhkan beberapa pusat Permata tetapi juga program-program sasaran yang berbeza dalam tempoh tujuh tahun penubuhannya sejak 2005.

Menggariskan tiga sebab utama kejayaannya, Penaung Permata Negara Datin Seri Rosmah Mansor, yang merupakan isteri Perdana Menteri Malaysia, berkata tanpa sokongan kerajaan Malaysia, pasti amat sukar dan mencabar untuk Permata mencatatkan begitu banyak kejayaan dalam tempoh singkat.

"Pertamanya, kami telah dan terus menerima sokongan kerajaan Malaysia. Jawatankuasa Penyelaras Dasar Permata Negara dipengerusikan sendiri oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri. Belanjawan kami adalah daripada kerajaan. Projek-projek seperti ini perlu mempunyai iltizam politik untuk berjaya," katanya.

Rosmah berkata demikian dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Inovasi Sedunia bagi Pendidikan (WISE) ke-4 bertajuk "Pendidikan Lestari dan Berkualiti untuk Masa Depan, Pengalaman Malaysia Menerusi Permata", di Pusat Konvensyen Nasional Qatar (QNCC), di sini, Rabu.

Keduanya, katanya dalam pelaksanaan projek-projek itu, Permata bekerjasama dengan agensi kerajaan, universiti dan badan bukan kerajaan (NGO) yang relevan serta rakan kongsi antarabangsa seperti Centre for Talented Youth, Johns Hopkins University, Pen Green Centre, Early Childhood Education and Care (ECEC) di UK dan Yayasan Mawhibah Kerajaan Arab Saudi.

Rosmah berkata kerjasama berkenaan memudahkan pelaksanaan pelbagai program kerana sudah terdapat sumber sedia ada di institusi berkenaan.

Yang terakhir, katanya Bahagian Permata telah diwujudkan khas di Jabatan Perdana Menteri untuk menyelaraskan semua program Permata.

"Walaupun kami amat bertuah kerana mendapat sokongan Kerajaan Malaysia dari awal lagi, dan kepimpinan yang diberikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri, pelaksanaan Permata bukannya mudah," katanya.

Rosmah menegaskan terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi Permata dan mereka perlu bekerja keras dan penuh keberanian untuk menyakinkan pengkritik serta tidak boleh berputus asa terhadap pelbagai pandangan sinis.

Katanya bermula dengan lima projek perintis pusat Permata Negara, program ECEC kini berkembang kepada 656 pusat di seluruh negara dengan lebih 27,000 kanak-kanak dalam tempoh empat tahun dengan setiap pusat menyediakan ECEC berkualiti tinggi dan mampu yang menumpukan pada konsep "pembelajaran adalah menyeronokkan" serta pembangunan kemahiran kognitif dan sosial.

Beliau berkata guru dilatih mengikut kurikulum kebangsaan dibangunkan oleh Permata dan penyertaan ibu bapa adalah prasyaratnya.

"Wajar disebutkan di sini, hanya selepas setahun beroperasi, kajian oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris di Malaysia, mendapati kanak-kanak Permata mendahului satu hingga dua tahun berbanding rakan sebaya daripada segi perkembangan kognitif, sosial dan emosi," katanya.

Beliau seterusnya berkata jutaan kanak-kanak di seluruh dunia berisiko ketinggalan terutama dalam pendidikan dan dianggarkan lebih 200 juta kanak-kanak berumur bawah lima tahun di negara-negara membangun gagal mencapai potensi mereka dalam perkembangan kognitif.

"Dianggarkan 101 juta kanak-kanak tidak bersekolah dan lebih separuh adalah perempuan. Buta huruf terus menjadi masalah serius di negara-negara sedang membangun dan membangun. Hampir satu bilion orang memasuki alaf ke-21 tanpa boleh membaca buku atau mengeja nama mereka.

"Statistik di atas dan senario mengenai keadaan kanak-kanak berkenaan dan pendidikan meruntun hati saya sebagai isteri kepada pemimpin sebuah negara dan peranan saya sebagai seorang ibu," kata Rosmah.

Beliau turut mengambil perhatian mengenai langkah Qatar menjadi peneraju di peringkat global dalam menangani kebimbangan itu dan beliau juga memuji Sheikha Moza Nasser, pengerusi Yayasan Qatar dan penaung Sidang Kemuncak WISE, atas keprihatinan dan pandangan jauh beliau mengenai pentingnya pendidikan bagi kejayaan dan pembangunan mapan masyarakat.

"Saya berkongsi aspirasi baginda dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada baginda kerana memberikan peluang kepada saya untuk berkongsi pendapat mengenai "Pendidikan Lestari dan Berkualiti untuk Masa Depan, Pengalaman Malaysia Menerusi Permata".

Menjelaskan lebih lanjut, Rosmah berkata visi awal program Permata Negara adalah untuk menangani peningkatan masalah sosial seperti penyalahgunaan bahan terlarang, keganasan, pelajar tercicir dan tingkah laku nakal dan jahat di kalangan remaja.

Bagaimanapun, katanya Permata segera menyedari bahawa faedah melabur dalam kanak-kanak adalah lebih luas jangkauannya daripada sekadar menangani masalah sosial dan jika kita gagal memberikan mereka permulaan yang baik, kita berisiko gagal dalam banyak perkara.

"Ini kerana jika kita tidak beri perhatian kepada anak-anak kita pada hari ini, mereka akan menyebabkan kita memberikan perhatian kepada mereka sebagai orang dewasa bermasalah di hari kemudian. Betapa bagusnya kita memupuk mereka di zaman kanak-kanak akan mempengaruhi jenis warisan yang kita tinggalkan," katanya.

Rosmah berkata masa depan kita bergantung kepada pemupukan generasi pemimpin yang berkebolehan dan efisien yang berupaya berdepan kerumitan cabaran di masa depan, boleh melihat melampaui sempadan dan batasan, tidak mementingkan diri dan komited terhadap perkongsian global bagi keamanan, kestabilan dan kebaikan manusia.

Beliau menegaskan perjalanan untuk melahirkan pemimpin sedemikian bermula dengan pendidikan awal kanak-kanak berkualiti, dan penjagaan, disertai program-program untuk mengenal pasti dan mengasah bakat istimewa dalam semua kanak-kanak termasuk yang mempunyai bakat semulajadi dan remaja berisiko yang memerlukan komitmen bukan sahaja daripada kerajaan dan pemimpin tetapi lebih penting ibu bapa, anggota keluarga dan masyarakat.

"Setiap kanak-kanak amat berharga dan tiada kanak-kanak patut diabaikan. Setiap masa depan yang hebat bermula dengan betapa gembiranya seseorang kanak-kanak itu hari ini. Setiap negara yang hebat dibina berdasarkan bagaimana seorang ibu menjaga anak-anaknya," katanya.

Rosmah mengakhiri ucaptamanya dengan petikan ungkapan bekas Presiden Amerika Syarikat Roosevelt: "We may not be able to prepare the future for our children, but we can at least prepare our children for the future". ("Kita mungkin tidak mampu menyediakan masa depan untuk anak-anak kita tetapi kita boleh sekurang-kurangnya menyediakan anak-anak kita untuk menghadapi masa depan). - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan