Banjir Di Selangor Disebabkan Perlombongan Pasir Haram - BN Selangor

Diterbitkan: Rabu, 14 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor, mendakwa masalah banjir kilat yang teruk melanda negeri itu berpunca daripada aktiviti perlombongan pasir haram yang dijalankan di tebing sungai.

Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Zin Mohamed berkata akibat sikap lepas tangan pentadbiran kerajaan negeri yang tidak memantau aktiviti perlombongan haram di tebing sungai telah menyebabkan ban pecah dan aliran air hujan deras tidak dapat mengalir terus ke sungai dan laut sekali gus menyebabkan beberapa kawasan rendah teruk dilanda banjir.

"Di Bukit Changgang, Dengkil dan Sepang banyak berlaku ban pecah, ini disebabkan oleh perlombongan pasir haram.

"Kita dapati ini semua disebabkan penguatkuasaan yang lemah oleh kerajaan negeri. Ban-ban ini perlu dijaga dan diselenggara seperti infrastruktur yang lain, namun kerajaan negeri gagal atasinya," katanya kepada pemberita di Bangunan Umno Selangor pada Rabu.

Zin berkata selain masalah ban pecah banjir yang berlaku di negeri itu disebabkan oleh masalah pengurusan sampah yang tidak teratur menyebabkan aliran air parit tidak dapat mengalir ke sungai yang akhirnya menyebabkan banjir kilat.

"Kita harap kerajaan negeri cepat ambil tindakan dengan selenggara ban-ban ini supaya rakyat tidak perlu berhadapan dengan masalah banjir ini pada masa akan datang," katanya.

Dalam perkembangan lain, BN Selangor mendakwa harga rumah di daerah Petaling dan Klang naik dengan begitu mendadak untuk tempoh beberapa tahun ini.

"BN Selangor melihat masalah ini berpunca daripada kelemahan kerajaan negeri mengurus dan mengawal isu perumahan dengan baik dan berkesan.

"Pakatan Rakyat tidak menyatakan jumlah sebenar pembinaan rumah kos rendah di Selangor walaupun Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mengumumkan peruntukan RM500 juta untuk pembinaan rumah kos rendah di Selangor dan Pulau Pinang sebelum ini," katanya.

Beliau memberi jaminan kepada rakyat Selangor bahawa sekiranya BN berjaya memerintah kelak masalah perumahan mampu milik akan diberikan perhatian khusus.

"Isu rumah mampu milik ini akan turut dimuatkan dalam manifesto BN pada pilihan raya umum akan datang.

"Pakatan Rakyat lebih berminat dalam urusan korporat hingga Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang diwujudkan untuk membantu rakyat memiliki rumah mampu milik dijadikan alat untuk meraih keuntungan tanpa memikirkan kebajikan rakyat," katanya.

Justeru, Zin berkata sekiranya corak pemerintahan sebegini berterusan tidak mustahil masalah penempatan setinggan di Selangor akan kembali pada masa akan datang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan