Kerajaan Tidak Pinggirkan Aspek Keagamaan Dalam Pembangunan Negara - Maglin

Diterbitkan: Selasa, 13 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak meminggirkan aspek keagamaan dalam pembangunan negara kerana ia adalah teras dalam membantu melahirkan warganegara yang bertanggungjawab, penyayang dan berjaya. Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D'Cruz berkata aspek keagamaan yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan membuktikan kerajaan mengambil berat terhadap keagamaan rakyat.

"Kerajaan begitu banyak membantu institusi keagamaan melalui modal permulaan, tapak rumah ibadat dan sebagainya kerana rumah ibadat juga turut membantu dalam membentuk perpaduan dan semangat setiakawan dalam kalangan masyarakat setempat melalui aktiviti dianjurkannya," katanya pada majlis makan malam bagi mengumpul dana pembangunan Tokong Wah Kong di Taman Desa Ayer Hitam, Puchong di sini, Isnin.

Majlis anjuran Persatuan Penganut Dewa Wah Kong Kuala Lumpur dan Selangor itu bertujuan mengumpul dana sebanyak RM5 juta bagi membina dewan besar dan menambah baik Tokong Wah Kong bagi keselesaan pengunjungnya beribadat.

Maglin berkata pegangan kepada agama amatlah penting bagi membentuk seseorang insan yang memiliki nilai murni dan kajian mendapati mereka yang berpegang teguh kepada kepercayaan sesebuah agama akan menjadi seorang warga negara yang baik.

Pada majlis itu beliau menyampaikan sumbangan RM20,000 daripada Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan bagi pembangunan Tokong Wah Kong. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan