Bekas KSU Kementerian Penerangan Meninggal Dunia

Diterbitkan: Isnin, 12 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

 Datuk Zawawi Mahmuddin
Datuk Zawawi Mahmuddin

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Datuk Zawawi Mahmuddin meninggal dunia akibat kanser hati di Hospital Pakar Damansara di Petaling Jaya pada Isnin. Beliau berusia 67.

Semua anggota keluarga berada di sisi semasa beliau menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira 11.30 pagi, menurut anak sulungnya, Badrul Hisham.

Beliau berkata bapanya dimasukkan ke hospital itu pada Ahad.

Jenazah Zawawi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Asar, selepas disembahyangkan di Masjid At-Taqwa di Taman Tun Dr Ismail di sini.

"Kesihatan beliau mula merosot pada September, mengadu sakit perut, hilang selera dan sukar tidur," kata Badrul Hisham, 41, kepada pemberita ketika ditemui di tanah perkuburan itu.

Badrul Hisham menyifatkan arwah bapanya sebagai seorang bapa yang pengasih dan penyayang.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Datin Syabiha Wahab, tiga orang anak dan empat cucu.

Zawawi anak kelahiran Taiping, Perak, menyertai Kementerian Pengangkutan pada 1968, selepas memperoleh ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan dari Universiti Malaya.

Kerjaya beliau dalam perkhidmatan awam mencapai kemuncaknya dengan pelantikan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan dari Ogos 1994 hingga Oktober 2000.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Majlis Telekomunikasi Negara (MTN).

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Tan Sri Samsudin Osman, yang hadir pada upacara pengebumian Zawawi, berkata rakannya itu seorang yang rasional dan serius dalam menjalankan kerjanya, dan menyifatkan kembalinya allahyarham ke rahmatullah sebagai satu kehilangan besar kepada negara. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan