Pusat Panggilan 1Malaysia Dilancar Esok

Diterbitkan: Ahad, 11 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkenalkan satu lagi inovasi baharu dalam perkhidmatan awam melalui pelaksanaan Pusat Panggilan 1Malaysia (1MOCC) bertujuan memudahkan komunikasi orang awam dengan agensi kerajaan.

Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) dalam satu kenyataan pada Ahad, berkata 1MOCC membolehkan orang awam mengemukakan pertanyaan, aduan atau cadangan kepada pelbagai agensi kerajaan menggunakan nombor rujukan tunggal 03 8000 8000.

"Dengan ini orang awam tidak lagi perlu mengingati atau mendapatkan pelbagai maklumat perhubungan setiap kali ingin berurusan dengan agensi kerajaan yang berlainan," kata Mampu.

Menggunakan konsep pusat panggilan setempat, 1MOCC merupakan satu projek 'National Flagship' di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan.

Projek itu menyediakan lima saluran komunikasi iaitu telefon, sistem pesanan ringkas, faks, e-mel dan media sosial.

Fasa satu 1MOCC dilaksanakan secara perintis melibatkan 21 agensi kerajaan merangkumi Jabatan Perdana Menteri dan agensi di bawahnya, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Ia diterajui Mampu dengan penyertaan Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Perbadanan Putrajaya dan TM selaku rakan strategik.

"Fasa kedua akan merangkumi semua jabatan dan agensi kerajaan di Putrajaya manakala fasa ketiga melibatkan jabatan dan agensi kerajaan secara keseluruhan," kata kenyataan itu.

1MOCC dijadual dilancarkan esok di Putrajaya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan