PKR Lancar Laman Web demirakyat.my Persiapan Hadapi PRU13

Diterbitkan: Khamis, 8 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Khamis melancarkan laman web khas, www.demirakyat.my khusus untuk memuatkan berita-berita Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, laman web itu telah dilayari sebanyak 1,500 kali sejak ia dilancarkan 7 pagi Khamis.

"Laman web ini merupakan agenda internet yang komprehensif untuk memudahkan kami berkomunikasi dengan para pengundi dan menjana tenaga anda untuk membantu PKR dan Pakatan Rakyat mengharungi perjuangan dalam perlumbaan kami untuk membentuk kerajaan.

"Demirakyat.my akan menjadi medium perantara bagi rakyat Malaysia yang berada di dalam dan luar negara mengetahui isu-isu berkaitan pilihan raya, persiapan dan calon-calon parti yang akan bertanding mewakili PKR pada PRU13," katanya kepada pemberita selepas melancarkan laman web tersebut, di ibu pejabat PKR pada Khamis.

Beliau berkata, sebagai parti yang memperjuangkan keadilan sosial, PKR melihat internet sebagai agen gelombang demokrasi masyarakat di seluruh pelusuk dunia dan ia akan memainkan peranan dalam usaha parti memenangi kerusi pada PRU13 nanti.

"Laman web ini menampilkan tiga ciri utama iaitu sokongan, perkongsian dan sumbangan. Sokongan membolehkan rakyat tahu lebih lanjut mengenai usaha parti dalam menghadapi pilihan raya dan jentera pilihan raya di peringkat nasional dan kawasan.

"Perkongsian pula membolehkan warga Internet berkongsi mesej pilihan raya, ceramah dan visual secara langsung ke komuniti maya seperti Facebook dan Twitter," katanya.

Nik Nazmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia berkata, rakyat juga boleh menyalurkan sumbangan mereka bagi membantu kempen pilihan raya PKR di peringkat negeri dan persekutuan.

"Ia juga dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan baru bagi mereka yang membuat bayaran menggunakan kad kredit atau kaedah lain. Sumbangan yang diberikan akan disalurkan secara langsung kepada gerak kerja pilihan raya parti.

"Bagi senarai nama calon yang akan mewakili parti, kita akan memuat naik senarai itu sebaik sahaja pucuk pimpinan parti membuat keputusan mengenainya," kata beliau.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan