Cadangan Ketepi Saman AES Beberapa Bulan Agar Orang Ramai Ubah Tabiat Memandu

Diterbitkan: Khamis, 8 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Saman yang dikeluarkan di bawah Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) perlu diketepikan untuk beberapa bulan akan datang, kata Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Dalam cadangan bagi tempoh bertenang antara tiga hingga enam bulan bagi orang ramai mengubah tabiat memandu mereka, Dr Chua berkata, pesalah tidak perlu membayar saman RM300 kerana melanggar lampu isyarat merah atau memandu melebihi had laju, yang dirakamkan oleh 14 kamera AES sepanjang tempoh itu.

“Tetapi, notis saman ini perlu dihantar kepada pesalah sebagai amaran supaya mereka tidak akan mengulangi kesalahan mereka.

“Ia juga menunjukkan komitmen kerajaan dalam mendidik orang ramai agar mereka memahami sistem tersebut,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat majlis presiden parti pada Khamis.

Meluahkan kekesalannya terhadap segelintir pemimpin Pakatan Rakyat yang mengambil peluang untuk mempolitikkan isu ini, Dr Chua berkata, pemandu yang meninggal dunia di atas jalan adalah manusia yang mempunyai keluarga yang bersedih dengan keadaan itu.

Beliau menyamakan jalan di negara ini sebagai “zon perang” di Iraq kerana kematian rakyat Malaysia disebabkan kemalangan adalah kira-kira 6,000 orang setahun, di mana kurang daripada 3,000 tentera Amerika Syarikat (AS) meninggal dunia di Iraq.

Kepada pengkritik AES, Dr Chua berkata, mereka perlu mematuhi undang-undang jalan raya.

“Jika orang ramai mematuhi undang-undang jalan raya, mereka tidak akan dikeluarkan sebarang saman,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan