Beri Peluang Lynas Bukti Kewibawaannya - MB Pahang - Berita Semasa | mStar

Beri Peluang Lynas Bukti Kewibawaannya - MB Pahang

Diterbitkan: Khamis, 8 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, syarikat memproses nadir bumi, Lynas Advanced Material Plant (LAMP) atau Lynas perlu diberi peluang sebagai sebuah syarikat yang melabur dalam bidang yang penting bagi menjana ekonomi negara.

Beliau berkata, Lynas adalah sebuah syarikat yang selain memberi pendapatan kepada ekonomi negara ia turut memberi peluang ekonomi dan pekerjaan kepada rakyat setempat dan juga negeri Pahang.

"Isu Lynas adalah isu ekonomi yang kemudiannya bertukar menjadi isu alam sekitar, kemudian menjadi isu politik dan akhirnya ia menjadi isu undang-undang.

"Dengan keputusan mahkamah hari ini (Khamis) elok kita beri peluang kepada Lynas membuktikan ia sebuah syarikat yang berwibawa dan melabur dalam bidang yang mustahak untuk negara," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (sms) kepada Bernama di sini Khamis.

Beliau mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi di sini Khamis yang menolak permohonan injunksi interim Lesen Operasi Sementara (TOL) terhadap Lynas oleh tiga penduduk Kuantan.

Sebelum ini, pemohon berkenaan memohon injunksi berkenaan supaya mahkamah membekukan TOL bagi menghentikan operasi Lynas di Gebeng.

Mengulas lanjut Adnan berkata, beliau tidak mahu menuding jari kepada sesiapa dalam isu ini.

"Ini kerana banyak masa serta wang dihabiskan sia-sia sepanjang kes itu berlangsung di mahkamah.

"Malah banyak kajian telah dijalankan malah ramai pakar-pakar telah membuat rumusan (mengenai Lynas)," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan