Kenyataan Nurul Izzah Bukan Satu Keutamaan Sekarang - Hadi Awang

Diterbitkan: Selasa, 6 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: PAS tidak bercadang untuk membuat pertemuan dengan Nurul Izzah Anwar bagi mendapatkan penjelasan sebenar berhubung kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang menyatakan kebebasan beragama di negara ini sepatutnya diguna pakai secara sama rata termasuk ke atas orang Melayu.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, isu tersebut bukan menjadi perkara utama memandangkan tumpuan parti ketika ini ialah menghadapi pilihan raya umum.

"Kita banyak lagi hal lain nak selesaikan dalam suasana menghadapi pilihan raya umum, jadi kita tidak tumpu isu itu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat, di sini, Selasa.

Abdul Hadi berkata, PAS tidak boleh menetapkan sebarang pendirian berhubung isu tersebut memandangkan pihaknya tidak mendapat gambaran sebenar.

Sehubungan dengan itu, jelas beliau, adalah tidak adil untuk menghukum seseorang itu tanpa penjelasan yang menyeluruh.

"Kita tidak dapat gambaran sebenar, tidak boleh bergantung kepada laporan media semata-mata.

"Mengikut Islam, kita mesti secara jelas seratus peratus sebelum menghukum seseorang itu," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan