SPAD Bentang Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat Sebelum Akhir Tahun

Diterbitkan: Isnin, 5 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sedang menyediakan Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat Negara, yang akan dibentang untuk pertimbangan jemaah menteri sebelum akhir tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata, selepas keputusan jemaah menteri diperoleh, kajian untuk merangka Rancangan Induk peringkat negeri akan bermula.

"Buat masa sekarang, kerajaan tidak ada rancangan untuk menghidupkan semula perkhidmatan kereta api dari Seremban ke Port Dickson disebabkan rangkaian jalan raya sedia ada dan lebuh raya sudah mencukupi.

"Namun, kerajaan akan mengkaji keperluan menghidupkan semula perkhidmatan kereta api berdasarkan kesesuaiannya untuk masa depan apabila Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat untuk Negeri Sembilan dirangka kelak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan John Fernandez (DAP-Seremban) berhubung rancangan menghidupkan semula perkhidmatan kereta api dari Seremban ke Port Dickson di Dewan Rakyat, Isnin.

Katanya, sebagai langkah persediaan, Jawatankuasa Teknikal Pengangkutan Awam untuk Negeri Sembilan ditubuh untuk menyelia kajian itu yang dipengerusikan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri Sembilan manakala SPAD bertindak sebagai urusetia.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan