Seramai 256 Mangsa Banjir Di Perak Dan 1,238 Di Selangor Dipindahkan

Diterbitkan: Isnin, 5 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Jarah Rahmat, 64, membantu cucunya, Muhammad Fikri Mohd Yusoff (kiri) mengangihkan mee goreng segera kepada adik-adiknya dalam keadaan rumahnya yang dimasuki air berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu dan menyebabkan peningkatan paras air Sungai Langat di Dengkil di Kampung Semarang, Isnin. -fotoBERNAMA
Jarah Rahmat, 64, membantu cucunya, Muhammad Fikri Mohd Yusoff (kiri) mengangihkan mee goreng segera kepada adik-adiknya dalam keadaan rumahnya yang dimasuki air berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu dan menyebabkan peningkatan paras air Sungai Langat di Dengkil di Kampung Semarang, Isnin. -fotoBERNAMA

IPOH: Sejumlah 256 mangsa banjir di daerah Hilir Perak dipindahkan di tiga pusat pemindahan berikutan kampung mereka dinaiki air sedalam satu meter sejak Sabtu lalu.

Mangsa banjir di Kampung Batu Lapan membabitkan seramai 161 orang (47 keluarga), Batu 4 Kampung Selabak seramai 66 orang (20 keluarga) dan Kampung Kunci Ayer Empat seramai 29 orang membabitkan 9 keluarga.

Ketua Polis Daerah HIlir Perak, ACP Goh Kok Liang berkata mereka dipindahkan di tiga pusat pemindahan iaitu Sekolah Kebangsaan Changat Jong dan surau di Kampung Selabak dan Kampung Kunci Ayer Empat.

"Mereka dipindahkan sejak tiga hari lalu berikutan hujan lebat sepanjang tiga hari menyebabkan air dari Sungai Bidor melimpah ke kampung-kampung terbabit", katanya ketika dihubungi Isnin.

Beliau berkata sehingga sekarang keadaan air di kampung terbabit masih bertahan sedalam satu meter.

Kesemua mangsa banjir telah dipindahkan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan polis.

Sementara itu di Selangor, seramai 1,238 orang dipindahkan ke lapan buah pusat pemindahan di Dengkil, Sepang, pada Isnin apabila kediaman mereka dinaiki air akibat hujan lebat.

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri, antara kawasan yang terlibat ialah Kampung Semarang, Jalan Kebun dan Bukit Changgang serta sekitar kawasan Kuala Langat.

Di Kuala Lumpur, Pusat Kawalan Bomba Kuala Lumpur melaporkan terdapat kejadian kecil tanah runtuh berhampiran sebuah rumah di Jalan Negeri Sembilan, Persiaran Negeri Sembilan, di sini namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pula melaporkan terdapat beberapa kejadian pokok tumbang di sekitar kawasan Wangsa Maju, Bukit Tunku dan Klang Lama.

Sementara itu, keadaan banjir di JOHOR semakin buruk dengan bilangan mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 2042 setakat 10.30 malam Isnin.

Menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebanyak 21 pusat pemindahan banjir dibuka di tiga daerah yang dilanda banjir di negeri ini.

Di Batu Pahat, yang merupakan daerah paling teruk dilanda banjir, sebanyak 17 pusat pemindahan dibuka manakala di Kluang, sebanyak dua buah dan di Ledang sebuah.

Portal itu turut mengingatkan orang ramai yang tinggal di kawasan mudah dinaiki air supaya sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa.

Orang ramai juga diingatkan agar setiasa mengawasi anak mereka untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan