KPT Tidak Cadang Tubuh Bank Data Ijazah, Diploma

Diterbitkan: Isnin, 5 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak berhasrat menubuhkan sebuah bank data berpusat yang mengandungi maklumat terpeinci individu yang dikurniakan ijazah dan diploma daripada institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah bagaimanapun berkata, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) mempunyai bank data bagi merekodkan maklumat individu yang menerima ijazah dan diploma daripada IPT masing-masing.

"Bank data terperinci bagi penerima ijazah dan diploma wujud diperingkat IPTA dan IPTS berkenaan.

"Oleh itu KPT tidak berhasrat untuk menubuhkan bank data terpeinci penerima ijazah dan diploma secara individu atau bagi setiap individu secara berpusat pada ketika ini," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Menurut Saifuddin, ia selaras dengan pemberian autonomi dan kebebasan kepada IPT dalam mengendalikan urusan operasi institusi masing-masing.

Saifuddin berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri (BN-Kuala Nerus) yang ingin mengetahui sama ada KPT bercadang menubuhkan bank data berpusat bagi rujukan ke arah menangani masalah penipuan ijazah.

Sehubungan itu beliau berkata, mana-mana pihak termasuk majikan boleh mendapatkan pengesahan terus daripada IPT terbabit berhubung ijazah dan diploma yang dikeluarkan institusi berkenaan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan