Dewan Rakyat Tolak Usul Bahas Blog Pengganas

Diterbitkan: Isnin, 5 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada Isnin menolak usul bagi membahaskan mengenai dakwaan kewujudan laman blog rasmi kumpulan militan al-Qaeda 'Tawhed.net' di Malaysia.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, usul berkenaan ditolak berdasarkan Peraturan Mesyuarat 18(2).

"Saya difahamkan bahawa perkhidmatan laman web tersebut telah dihentikan dan perkara ini juga dalam siasatan serta pemantauan agensi penguatkuasaan," katanya.

Usul berkenaan difailkan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) agar Dewan Rakyat membincangkan mengenai dakwaan kegagalan kerajaan mengesan kewujudan operasi blog 'Tawhed.net' di Malaysia.

Menerusi usul itu juga Lim mahu Menteri Dalam Negeri dan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan memberi penjelasan mengenai tahap ancaman yang dibawa 'Tawhed.net' kepada keselamatan negara serta jaminan perkara ini tidak akan berulang lagi.

Beliau memetik laporan akhbar The Star minggu lalu yang mendedahkan al-Qaeda menggunakan blog itu untuk menarik pengikut dari seluruh dunia, menghantar mesej, berinteraksi dan mengajar cara berjihad menggunakan keganasan.

Bagimanapun blog itu didapati ditamatkan sehari selepas laporan tersebut disiarkan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan