PM Saksi Perjanjian Projek Landasan Berkembar RM15 Bilion

Diterbitkan: Ahad, 4 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

VIENTIANE: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyaksikan perjanjian memeterai projek landasan berkembar elektrik bernilai US$5 bilion (kira-kira RM15 bilion) yang akan dibina oleh sebuah syarikat Malaysia yang akan mentransformasikan tanah daratan Laos kepada tanah yang boleh dihubungkan.

Perjanjian konsesi itu, antara kerajaan Laos dan Giant Consolidated Ltd, syarikat Malaysia, ialah untuk membangunkan landasan sepanjang 220km dari Savannakhet ke Lao Bao, berdekatan sempadan Vietnam.

Duta Malaysia ke Laos, Datuk Than Tai Hing berkata, Perdana Menteri Laos, Thongsing Thammavong akan turut menyaksikan majlis itu yang akan diadakan pada esok (Isnin).

Najib akan tiba di sini tengah hari Ahad untuk lawatan kerja tiga hari ke Laos dan menghadiri Mesyuarat Asia-Eropah ke-9 (ASEM).

Than berkata, projek itu akan menghubungkan timur dan barat negara ini dan menjadikan negara ini daripada tanah daratan kepada tanah yang boleh dihubungkan, selain daripada merealisasikan "Asean Connectivity" menjelang 2015 dan seterusnya menyumbangkan kepada pembangunan ekonomi negara ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, akan merasmikan cawangan pertama Maybank di negara ini esok, sekali gus melengkapkan kehadiran bank ini di kesemua 10 negara anggota Asean.

Pada masa ini, Maybank, bank komersil terbesar Malaysia dan peneraju perkhidmatan kewangan serantau, mempunyai rangkaian antarabangsa melebihi 2,200 pejabat di 19 negara, termasuk di Amerika Syarikat, Britain, Arab Saudi, Bahrain, China, Hong Kong dan India, selain daripada negara-negara anggota Asean.

Than berkata, Najib juga akan mengadakan pertemuan dengan para pelabur Malaysia yang terlibat dalam projek elektrik hidro dan di zon ekonomi khas di negara ini pada Isnin.

Rakyat Malaysia telah melabur US$165 juta (kira-kira RM495 juta) di Laos antara 2000 dan 2011, menjadikan mereka pelabur terbesar kesembilan di negara ini, kata beliau.

Pelaburan Malaysia di Laos ialah dalam sektor perbankan, insurans, pendidikan, semikonduktor, pelancongan dan pertanian.

Public Bank, Dominant Semiconductors Co Ltd, Mega First Corporation Bhd, Savan Pacifica Development Co Ltd dan Dansavanh Nam Ngum Resort adalah antara syarikat utama Malaysia yang telah melabur di negara ini.

"Pelaburan baru Malaysia dalam projek-projek landasan berkembar elektrik dan hidro-elektrik sudah pastinya akan mengubah kedudukan Malaysia sebagai pelabur terbesar di negara ini yang pada masa ini diketuai oleh China," kata beliau.

Najib juga akan menyertai 48 pemimpin lain dari Asia dan Eropah di mesyuarat ASEM selama dua hari, bermula Isnin.

Mesyuarat yang bertemakan "Friends for Peace, Partners for Prosperity" akan terus mengukuhkan kerjasama ekonomi dan politik antara kedua-dua rantau di celah-celah krisis hutang zon euro.

Para pemimpin ASEM dijangka membincangkan antara lain keadaan ekonomi global, pembaharuan kepada institusi kewangan antarabangsa, air, tenaga, jaminan makanan, pengurusan bencana, pelancongan dan perpindahan.

Than berkata, Najib juga dijangka mempromosikan konsep pergerakan penyederhanaan global di mesyuarat ini.

Keahlian perkumpulan ASEM ini akan diperluaskan kepada 51 dengan kemasukan Bangladesh, Norway dan Switzerland di persidangan ini.

ASEM ditubuhkan pada 1996 dengan mesyuarat pertamanya diadakan di Bangkok.

Para pemimpin ASEM mengadakan pertemuan setiap dua tahun secara berselang di kedua-dua rantau ini.

Najib juga akan mengadakan mesyuarat dua hala secara berasingan dengan Presiden Perancis, Francois Hollande, Perdana Menteri Norway Jens Stoltenberg dan Perdana Menteri Pakistan Raja Pervaiz Ashraf di luar persidangan berkenaan.

Najib akan diiringi oleh isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, pada lawatan ini.

Inilah kali pertama, Laos, negara dengan jumlah penduduk enam juta, menjadi tuan rumah kepada persidangan antarabangsa terbesar. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan