Suspek Militan Rakyat Malaysia Dipindahkan Ke Penjara Roumieh, Lubnan

Diterbitkan: Sabtu, 3 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua suspek rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Lubnan berhubung dakwaan mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda, dipindahkan sementara ke penjara Roumieh di Beirut, dari sebuah pusat tahanan tentera, menurut peguam mereka.

Marwan Sinno berkata Razif Mohamad Ariffin, 28, dan Mohamad Razin Shahar Mustapha Kamal, 21, dipindahkan atas sebab logistik. Ketika dihubungi Bernama di sini Jumaat, beliau berkata perkara itu telahpun dimaklumkan kepada kedutaan Malaysia di Beirut dan hakim Tribunal Tentera masih belum membuat sebarang keputusan dalam kes membabitkan dua rakyat Malaysia itu.

Sementara itu, seorang jurucakap kedutaan berkata bapa Razif, Mohamad Ariffin Abdullah telah memohon kepada pihak kedutaan hari ini untuk menemui anaknya di penjara. "Dia bercadang membeli sedikit makanan untuk anaknya," kata pegawai itu.

Razif dan Mohamad Razin, yang diwakili empat peguam, dihadapkan ke Tribunal Tentera atas tuduhan menjadi anggota pengganas yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda.

Kedua-dua lelaki itu dilaporkan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu. Sehingga kini, mereka masih menunggu keputusan hakim tribunal itu sama ada dibebaskan atau kes mereka dibicarakan di mahkamah biasa.

Razif dan Mohamad Razin Shahar ditahan pihak berkuasa Lubnan pada 18 Oktober lepas. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan