Siri Bengkel Pertahankan Diri Untuk Wanita Dirancang Di Seluruh Negara - Berita Semasa | mStar

Siri Bengkel Pertahankan Diri Untuk Wanita Dirancang Di Seluruh Negara

Diterbitkan: Sabtu, 3 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Siri kelas dan bengkel mempertahankan diri sedang dirancang di seluruh negara bagi melengkapkan wanita dengan kemahiran untuk mempertahankan diri mereka.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie berkata, bengkel itu yang bermula pada Jumaat, merupakan satu inisiatif di bawah fasa kedua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk membanteras jenayah.

“Wanita akan diajar tentang bagaimana untuk mempertahankan diri mereka dalam situasi yang terancam. Menurut statistik, terdapat 26,092 kes melibatkan wanita dilaporkan sejak 2007.

“Kebanyakan kes melibatkan rogol, sumbang mahrim, cabul dan keganasan rumah tangga.

“Ini menunjukkan bahawa wanita masih lagi menjadi sasaran utama jenayah dan perlu dilakukan sesuatu dengan lebih lagi bagi memastikan keselamatan mereka,” kata Heng pada pelancaran bengkel pertama di mana ia dihadiri lebih 30 peserta.

20 bengkel yang lain akan dikendalikan di seluruh negara dalam beberapa bulan akan datang.

Bengkel tersebut merupakan anjuran bersama oleh kementerian, Persatuan Suara Wanita Selangor & Kuala Lumpur dan jabatan polis Petaling Jaya.

Ia ditaja oleh Sime Darby dan Redberry Sdn Bhd.

Bengkel berkenaan dikendalikan oleh beberapa pakar daripada polis, Rela, Rukun Tetangga, Code Red Academy, BG Holdings dan Persatuan Tindakan Wanita (Awam).

Heng turut berkata, inisiatif lain akan dilancarkan oleh kementerian sebagai sokongan keselamatan sehingga ke akar umbi.

“Kami akan mengadakan lebih banyak sesi dialog antara anggota komuniti dan wakil polis daerah dan ketua Rukun Tetangga bagi memastikan kerjasama lebih erat,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan